KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera untuk mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat, Dewan Negara diberitahu hari ini.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera di televisyen, selain menambah bilangan slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat melalui radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan. "Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera adalah tinggi kalori, lemak, garam dan gula," katanya menjawab pertanyaan Senator N.Rawisandran mengenai usaha kerajaan bagi mengatasi kecenderungan rakyat Malaysia yang gemar makan makanan segera.Liow berkata kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang boleh membantu mengawal pemasaran, promosi dan kebolehdapatan makanan segera di negara ini."Antara usaha lain yang telah diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera semasa rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat makanan pada makanan segera," katanya.Kepada soalan tambahan Senator Muhamad Yusof Husin yang ingin tahu sama ada kerajaan membuat ujian makmal terhadap bahaya makanan segera kepada kesihatan, Liow berkata semua jenis makanan yang masuk ke dalam negara dipantau oleh bahagian keselamatan makanan."Kita sentiasa mengingatkan orang ramai mengenai perlunya makanan seimbang (tetapi) makanan apapun, kalau terlebih makan, akan membawa kemudaratan," katanya. - BERNAMA