suria

JPJ Saman 1,107 Pemandu Kenderaan Guna Cermin Gelap

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap 1,107 pemandu kenderaan yang menggunakan cermin gelap di seluruh negara sejak Januari tahun ini hingga September lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, jumlah saman yang dikeluarkan itu lima kes lebih rendah berbanding jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang tahun lepas iaitu 1,112 kes.

Bagaimanapun, katanya jumlah tahun ini dijangka meningkat kerana jumlah saman tersebut belum diambil kira untuk tempoh tiga bulan terakhir, tahun ini, katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim berkata, pihaknya akan menggunakan lebih 10 mesin pengukur cermin gelap atau mesin "autolight" untuk mengesan kenderaan yang menggunakan cermin gelap.

Menurutnya, alat itu akan ditempatkan di dua stesen JPJ utama di Mentara, Gua Musang dan Bukit Bunga, Jeli yang beroperasi 24 jam. "Mesin ini mampu mengesan tahap dibenarkan mengikut ukuran (ujian) waktu malam dan siang cermin hadapan tidak kurang 65 peratus, manakala cermin belakang dan sisi hendaklah telus cahaya tidak kurang 45 peratus," katanya.

Beliau berkata, dengan penggunaan mesin baru itu tahap ketelusan cahaya dinaikkan sedikit berbanding sebelum ini 70 peratus untuk cermin depan dan 50 peratus untuk cermin sisi dan belakang.

Sehubungan itu beliau meminta pemandu kenderaan mematuhi peraturan pemasangan cermin gelap atau filem pada kenderaan mereka bagi mengelakkan diambil tindakan mengikut Akta JPJ. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain