suria

Hotel 5 bintang mesra alam di kaki Gunung Kinabalu akan dibina

KOTA KINABALU: Kundasang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu - gunung tertinggi di Asia Tenggara - akan memiliki hotel lima bintangnya yang pertama tidak lama lagi.

Royal Kinabalu Mountain Resort & Suites yang bernilai RM300 juta akan mempunyai 494 bilik dan suites dan separuh daripadanya akan dijual untuk miliki peribadi berdasarkan konsep time-sharing.

Setiap unit yang diperuntukkan untuk pemilikan peribadi itu akan dijual pada harga RM800,000 hingga RM1 juta.

Dalam satu majlis pelancaran jualan yang diadakan hari Ahad, hanya tinggal lima unit sahaja yang masih kosong daripada 280 suites yang diperuntukkan kepada pemilikan peribadi ekoran sambutan yang sangat mengalakkan sebelum ini.

Pengarah Urusan Kinsabina Sdn Bhd, Francis Goh berkata, terdapat 40 pembeli lagi terpaksa diletakkan di dalam senarai menunggu.

Francis menyifatkan kejayaan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh jaminan pulangan pelaburan sebanyak 6% daripada hasil sewaan bilik berasaskan konsep perkongsian keuntungan daripada bilik yang akan disewakan untuk tempoh 15 tahun selepas beroperasi. Goh menambah, hotel tersebut akan mempunyai grand ballroom yang dapat memuatkan 1,000 orang di samping lain-lain kemudahan yang ditawarkan oleh hotel bertaraf lima bintang.

Terletak hanya kira-kira 1km sahaja dari Taman Negara Kinabalu, Goh memberi jaminan bahawa Kinsabina sebagai pemaju akan menggunakan pendekatan mesra alam dan kejuruteraan hijau untuk memelihara kawasan tersebut daripada sebarang kerosakan maksimum mahupun pencemaran alam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain