suria

Christina Liew letak jawatan sebagai Ahli MT PKR

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menghadapi satu lagi tamparan, dengan Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti hari ini, mengikut jejak naib presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Liew, yang telah digantikan bagi jawatan timbalan pengerusi PKR Sabah, berkata bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada presiden parti hari ini," katanya kepada Bernama.

Liew berkata selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga pelantikan Datuk Kong Hong Ming sebagai timbalan pengerusi PKR Sabah dan Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

"Ibu saya terpaksa berdepan dengan pandangan serong orang ramai kerana saya telah digantikan (sebagai timbalan pengerusi) atas alasan yang tidak diketahui. Saya telah bekerja keras selama sembilan tahun untuk mempromosikan PKR Sabah. Oleh kerana parti tidak menghargai sumbangan saya, saya berundur dengan bermaruah sekarang," katanya.

Dr Jeffrey telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan sebagai anggota majlis tertinggi dan biro politik, memberikan tamparan hebat kepada cubaan PKR untuk memperkukuhkan parti itu di Sabah.

Dr Jeffrey, yang dijangka menghantar surat peletakan jawatan ke ibu pejabat parti menjelang hari ini, akan kekal sebagai anggota biasa parti, menurut bekas pembantu kanannya Kanul Gindol.

Dipercayai majoriti ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin, anak kelahiran Sabah dinamakan sebagai ketua PKR negeri yang baru pada hujung minggu lalu selepas ketuaketua bahagian menyatakan tidak yakin dengan naib presiden PKR Azmin Ali untuk menerajui PKR negeri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain