suria

Gigit polis: Tian Chua hadapi hukuman penjara 6 bulan

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika menghadiri prosiding mahkamah pagi ini. -Foto THE STAR oleh UU BAN
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika menghadiri prosiding mahkamah pagi ini. -Foto THE STAR oleh UU BAN
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika menghadiri prosiding mahkamah pagi ini. -Foto THE STAR oleh UU BAN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan penjawat awam dalam satu operasi polis, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Faizi Che Abu memutuskan beliau dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM3,000.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepada beliau memfailkan rayuan.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberikan masa selama 14 hari untuk berbuat demikian.

Tian Chua yang berbaju kut dan bertali leher hadir bersama kira-kira 30 penyokong Parti Keadilan. Mahkamah sesak sehingga ada yang terpaksa berdiri menyaksikan prosiding hari ini.

Beliau diwakili oleh peguam-peguam Ranjit Singh, Amir Hamzah Arshad dan Radzlan Hadri.

Pihak pendakwa raya pula terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria, Lee Keng Fatt dan Ishak Mohd Yusuff.

Tian Chua kelihatan tenang dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi semasa hukuman dijatuhkan mahkamah.

Semasa menjatuhkan hukuman tersebut, Mohd Faizi menjelaskan, mahkamah tidak boleh mengambil kira mitigasi Ranjit yang meminta mahkamah mempertimbangkan Perkara 48 Perlembagaan terlebih dahulu.

Menurut Perkara 48 Perlembagaan, seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakannya sekiranya dipenjarakan setahun atau lebih dan denda RM2,000 atau lebih dan beliau tidak mendapat pengampunan bebas.

"Jika Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan diambil kira dalam pertimbangan mahkamah, maka ia merupakan keistimewaan khas (special privileges) kepada Ahli-ahli Parlimen.

"Oleh itu, mahkamah tidak boleh mengambil kira mitigasi itu," kata Mohd Faizi.

Mahkamah turut tidak menerima mitigasi pihak pendakwa bahawa mahkamah patut mengambil kira faktor demonstrasi yang berleluasa pada 0ktober hingga Disember 2007 serta perkaitannya dengan kes Tian Chuan.

"Dakwaan hari ini adalah mengenai kes Tian Chua mencederakan polis dan menghalang daripadanya menjalankan tugas. Oleh itu, mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas.

"Dia ialah perencana utama jenayahnya sendiri (He is the author of his own crime). Jika dia bekerjasama dengan polis tempoh hari, dia tidak akan berada di mahkamah hari ini.

"Justeru, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 atau dua bulan penjara," kata Mohd Faizi.

Tian Chua, atau nama sebenarnya Tian Chua Chang, 46, didakwa mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar ketika beliau sedang menjalankan tugasnya pada satu perhimpunan haram di Parlimen, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam mitigasi, peguam-peguam bela Tian Chua antara lain mengemukakan alasan mahkamah harus mempertimbangkan status Tian Chua sebagai Ahli Parlimen dan hukuman tidak sewajarnya melucutkan hak-haknya sebagai Ahli Parlimen.

Ini kerana, ini akan menyebabkan pilihan raya kecil dikendalikan dan ini merupakan "hukuman" kepada rakyat.

Selepas prosiding berakhir, Tian Chua yang ditemui wartawan berkata, dia masih mengekalkan tidak bersalah.

Artikel Lain