suria

Najib: Polis akan siasat kertas kabinet PKFZ di internet

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata polis akan menyiasat mengenai Kertas Kabinet berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan di internet kerana kertas itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau berkata tindakan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang sepatutnya, tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

"Dalam kes PKFZ ini, apa-apa yang patut kita beritahu kepada rakyat, kita akan maklumkan nanti, tetapi bukan satu alasan yang boleh diterima mendedahkan Kertas Kabinet (di internet).

"Apa pun kertas Kabinet masih di bawah OSA dan sesiapa dedahkan Kertas Kabinet, polis akan menyiasat. Tengok kepada siasatan nantilah, apaapa tindakan boleh diambil berdasarkan OSA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara di sini semalam.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kertas Kabinet berkaitan PKFZ yang didedahkan di sebuah laman web.

Ditanya mengenai nasihat beliau kepada orang ramai yang ingin pulang beraya ke kampung, Najib berkata keputusan Kabinet memberi cuti sekolah lebih awal iaitu pada hari ini adalah bagi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

"Jadi orang tak balik berpusu-pusu pada esok hari (Sabtu) dan sebahagian akan balik hari ini dan esok.

"Kita ambil kira semua ini termasuk pelbagai program yang dilancar bagi menjamin keselamatan orang ramai yang ingin pulang beraya seperti program Pandu Selamat dan Ops Sikap," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain