suria

77 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital

KUALA LUMPUR: Sejumlah 77 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa selesema (ILI) telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) dicatatkan.

Katanya, sejumlah 137 kes telah dibenarkan keluar hospital dan sekaligus menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 90 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 821 orang.

"Daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, 141 pesakit iaitu 17 peratus telah disahkan positif H1N1," katanya.

Beliau berkata, bilangan kes yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) buat masa ini kekal sebanyak 30 kes melibatkan tiga kemasukan baru dan tiga lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 30 kes tersebut, 26 kes iaitu 87 peratus mempunyai faktor risiko iaitu lapan kes penyakit kronik, enam kes masingmasing obesiti dan kanakkanak bawah lima tahun, manakala tiga kes lagi masingmasing penyakit respiratori kronik dan hamil," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan meminta orang ramai, terutamanya yang mengalami gejala ILI semasa berada di kampung, agar tidak lupa mengamalkan langkah-langkah pencegahan semasa menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

Langkah-langkah itu adalah:

1. Mereka perlu mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.

2. Sekiranya perlu bersama-sama anggota keluarga, mereka hendaklah memakai penutup mulut dan hidung.

3. Elakkan daripada berada terlalu dekat dengan anggota keluarga termasuklah memeluk anggota keluarga yang terdiri daripada golongan berisiko seperti kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun, wanita hamil, pesakit asma, pesakit diabetes, pesakit imuniti rendah.

4. Seboleh-bolehnya mereka dinasihatkan tidak menghadiri tempat yang sesak atau keramaian umpamanya mengunjungi rumah terbuka, majlis kenduri dan juga sembahyang sunat Hari Raya kerana dikhuatiri akan menjangkiti orang lain.

Namun jika mereka ingin juga menghadiri sembahyang sunat Hari Raya, maka hendaklah memakai penutup mulut dan hidung serta membawa sejadah atau pelapik sembahyang sendiri dan tidak berkongsi dengan orang lain.

5. Sepanjang berada di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri daripada orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

6. Sekiranya gejala tidak berkurangan, individu perlulah berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan dengan segera. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain