suria

Seorang pekerja mati kebocoran gas di Bintulu

BINTULU: Seorang pekerja di Loji Gas Cecair Asli Malaysia (MLNG) di Tanjung Kidurong di sini, mati dalam satu kejadian kebocoran gas yang berlaku hari ini.

Sumber-sumber daripada Petronas Sarawak mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang tadi apabila pekerja berkenaan bersama-sama dua orang rakannya sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah paip besar di loji berkenaan.

Ketiga-tiga pekerja berkenaan dikatakan pengsan selepas menghidu gas yang bocor itu sebelum kejadian berkenaan disedari oleh pekerja-pekerja lain.

Sehingga pukul 10 malam tadi, keadaan dua orang pekerja terlibat masih belum diketahui.

Sumber-sumber di Hospital Bintulu pula memberitahu Bernama bahawa mereka dimaklumkan berkenaan dengan kejadian itu pada kirakira pukul 5 petang sebelum sebuah ambulan berkejar ke tempat kejadian.

Sementara itu, pengurus perhubungan awam MLNG Shamsur Taha semasa dihubungi Bernama berkata satu kenyataan rasmi akan dibuat oleh Petronas secepat mungkin berikutan insiden itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain