suria

Pelajar Uniten ditemui mati di Stadium Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian Adidas King of The Road Marathon di sini semalam, ditemui mati di sebuah terowong di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, mayat Gary Leon Robert, 22, seorang daripada kira-kira 10,000 peserta larian yang dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Adidas Malaysia Sdn Bhd, ditemui kira-kira pukul 1.05 tengah hari.

"Mayat pelajar itu ditemui di terowong stadium berkenaan kira-kira pukul 1.05 tengah hari dengan bantuan Unit Anjing Pengesan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, gerakan mencari pelajar itu dimulakan pagi ini selepas bapa pelajar itu membuat laporan mengenai kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Noor Azam berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di bahagian dada dan bibir mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diterima esok," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelajar itu adalah peserta larian bagi kategori 22 kilometer.

Beliau berkata, sebaik tamat tempoh larian itu, seorang daripada rakan pelajar itu memberitahu bahawa pelajar itu gagal ditemui.

"Urusetia larian terus melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan stadium berkenaan dan di semua check point larian itu, namun mangsa gagal ditemui," katanya ketika dihubungi di sini.

Shahrin berkata, satu operasi mengesan pelajar itu oleh anggota penguat kuasa MBSA turut dijalankan malam semalam dan pagi ini namun tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di kawasan stadium itu dengan bantuan anjing pengesan menemui mayat pelajar itu di terowong berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain