suria

Kastam rampas hampir RM500,000 mercun dan bunga api seludup

KANGAR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM486,651 apabila menahan sebuah lori kontena di Jalan Padang BesarChuping, dekat sini, semalam.

Pengarah Kastam Negeri, Mohd Isa Endut, berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota cawangan penguatkuasaan Kastam Kuala Perlis telah menahan lori berkenaan pada pukul 7.15 malam dan hasil pemeriksaan, mendapati bekalan mercun dan bunga api dalam kontena itu.

Katanya sejumlah 726 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api disembunyikan di sebalik 235 paket bihun dalam kontena tersebut dengan nilai cukai RM191,711.

Ketika ditemui di sini hari ini, Mohd Isa berkata, pemandu dan kelindan lori berkenaan berusia dalam lingkungan 30an ditahan untuk siasatan lanjut serta merampas dua dokumen palsu.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barang terlarang tanpa permit.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara 10 kali ganda dan 20 kali ganda nilai barangan rampasan atau keduadua sekali.

Mohd Isa berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap penyeludupan barangan itu dari negara jiran memandangkan sistem alat pengimbasan telah dipasang di pintu sempadan Padang Besar.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan barangan seludup itu dibawa melalui jalan laut atau pintu masuk haram.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan supaya menghubungi jabatan itu di talian bebas tol 1-800-88-88-55 atau pejabat Kastam Perlis di talian 04-9792500. BERNAMA

Artikel Lain