suria

Penjual ubat didenda buat kali ketiga kerana miliki trofi burung cenderawasih

SHAH ALAM: Hukuman denda dan penjara dua kali sebelum ini ternyata tidak memberi pengajaran apabila seorang penjual ubat tradisional didenda kali ketiga hari ini atas kesalahan memiliki trofi spesis burung cenderawasih di sini bulan lepas.

Akibat tindakan itu, Abd Kadir Md Din, 52, kali ini dikenakan hukuman denda RM2,500 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah memiliki tiga trofi burung cenderawasih tanpa lesen.

Majistret Hafizah Abdul Rajak menjatuhkan hukuman tersebut mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang berasal dari Bagan Serai, Perak, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah lot pasar pagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di perkarangan Stadium Shah Alam, pada pukul 10.30 pagi, 21 Jun lalu.

Ketika rayuan agar hukuman diringankan, Abd Kadir, yang tidak diwakili peguam, memberitahu dia telah banyak kali memohon lesen untuk memiliki burung itu tetapi ia tidak diluluskan.

Katanya hidupnya susah dan mempunyai anak kecil dan baru 10 hari kembali menjual minyak burung cenderawasih selepas dua tahun tidak berniaga.

Memang dengan gaya sebagai penjual ubat, Abd Kadir berkata sejak berniaga menggunakan minyak burung itu dia telah berjaya memulihkan beberapa kanak-kanak nakal, mat rempit dan penagih dadah.

Dengan linangan air mata, beliau berkata perbuatannya hanya dengan niat untuk menolong orang ramai.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perhilitan, Ahmad Shamsuddin Shaari, berkata tertuduh sepatutnya diberi hukuman berat kerana tertuduh sebenarnya sedar burung itu dilindungi dan memerlukan lesen untuk memilikinya.

Mengikut rekod kesalahan lampau tertuduh, Abd Kadir kali pertama dikenakan hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Perak kerana memiliki lima trofi burung cenderawasih pada 20 Jan 2006.

Manakala tertuduh juga didenda RM1,500 dan penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 6 Mac 2006 kerana memiliki dua trofi spesis burung yang sama, satu trofi duri landak dan sebahagian trofi kulit hidupan liar secara tidak sah. BERNAMA

Artikel Lain