suria

40 pelajar sakit perut, muntah selepas makan di kantin sekolah

KUALA LUMPUR: Seramai 40 pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, dekat sini mengalami sakit perut, pening kepala dan loya dipercayai akibat keracunan makanan selepas menikmati nasi lemak ayam di kantin sekolah itu pagi semalam. Kesemua pelajar tahun empat sekolah berkenaan mengadu sakit perut dan muntahmuntah selepas memakan nasi lemak ayam itu pada waktu rehat kira-kira pukul 9.30 pagi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit Hisham Abdul Razak berkata kesemua pelajar itu telah dihantar ke Hospital Jabatan Hal Elwal Orang Asli (HJHEOA) berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

"Semua mereka hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar, tidak kritikal dan pihak keluarga tidak perlu panik dengan perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu.

Hisham berharap pihak sekolah dan pegawai kesihatan segera memantau kantin sekolah itu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Sementara itu, Nor Anis Syahirah Zainal Abidin, 10, berkata dia mengalami sakit perut sejurus selepas memakan nasi lemak ayam yang dibeli dengan harga RM1.50 di kantin berkenaan.

"Masa makan nasi lemak, sudah terasa macam basi tetapi saya makan juga sebab sudah bayar makanan itu," katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd Syakirin Shahidan berkata ini kali pertama dia mengalami keracunan makanan di sekolah tersebut. "Saya tidak pernah merasa sakit macam ini. Kejadian ini membuatkan saya takut untuk makan makanan yang sama selepas ini," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Syakirin, Junaidah Nor, 49, berharap pihak sekolah memantau kebersihan kantin sekolah itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak kantin.

"Saya ada pergi ke kantin itu dan melihat banyak lalat walaupun di luar kantin nampak bersih," katanya. BERNAMA

Artikel Lain