suria

3 Senator Pakatan Rakyat angkat sumpah

KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng beramah mesra dengan Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim (dua, kiri) dan Senator Mustafa Kamal Mohd Yusuff (kiri) selepas kedua-dua anggota Dewan Negara itu mengangkat sumpah sebagai Senator di Bangunan Parlimen hari ini. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiga orang, masing-masing daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Mereka ialah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim, 75, dan Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusuff, 56, kedua-duanya dilantik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang serta Naib Ketua, Dewan Muslimat PAS Kelantan Mumtaz Md Nawi, 37.

Tunku Abdul Aziz dan Mustafa dilantik kali pertama manakala Mumtaz dilantik bagi penggal kedua.

Tunku Abdul Aziz, yang merupakan Senator pertama daripada DAP berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepadanya dan akan berusaha untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan kerajaan negeri itu di Dewan Negara.

Beliau berkata, pengalaman luasnya dalam sektor perbankan dan perniagaan akan dimanfaatkan bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai Senator.

"Saya masih baru (dalam persidangan dewan) dan masih perlu banyak belajar dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan negeri Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah itu.

Tunku Abdul Aziz pernah memegang jawatan tinggi di pelbagai organisasi swasta dan awam di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom selain pernah menjadi Presiden Persatuan Transparensi dan Integriti Malaysia, Pengarah Kumpulan Sime Darby Bhd dan kini sebagai penulis kolum mingguan untuk akhbar Cina, Sin Chew Daily. BERNAMA

Artikel Lain