suria

19 IPTS layak terima biaya pengajian pakej rangsangan ekonomi

PETALING JAYA: Pembiayaan pengajian ijazah lanjutan di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua diperluaskan kepada 19 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf universiti dan kolej universiti yang menawarkan program sepenuh masa.

Bilangan yang disasarkan bagi 19 buah IPTS tersebut adalah 1,500 pelajar dengan kuota sebanyak 75 pelajar bagi setiap entiti.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penajaan ini terhad kepada jumlah pembiayaan yang sama iaitu RM10,000 untuk ijazah sarjana dan RM20,000 untuk doktor falsafah (Ph.D)

SENARAI 19 IPTS TERBABIT:

UNIVERSITI:

UNINIVERSITI TUNKU ABDUL RAHMAN

MALAYSIA UNIVERSITY OF SCIENCE & TECHNOLOGY

UNIVERSITI PERUBATAN ANTARABANGSA

UNIVERSITI INDUSTRI SELANGOR

UNIVERSITI TUN ABD RAZAK

MANAGEMENT & SCIENCE UNIVERSITY

MONASH UNIVERSITY MALAYSIA

UNIVERSITY OF NOTTINGHAM MALAYSIA CAMPUS

CURTIN UNIVERSITY OF TECHNOLOGY

SWINBURNE UNIVERSITY OF TECHNOLOGY

UNIVERSITI UCSI

KOLEJ UNIVERSITI

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

ASIA PACIFIC UNIVERSITY COLLEGE OF TECHNOLOGY & INNOVATION.

KOLEJ UNIVERSITI INFRASTRUKTUR KUALA LUMPUR

KOLEJ UNIVERSITI SUNWAY

KOLEJ UNIVERSITI HELP

BINARY UNIVERSITY COLLEGE OF MANAGEMENT & ENTREPRENEURSHIP

KOLEJ UNIVERSITI INTI

KOLEJ UNIVERSITI TAYLOR’S

"Secara amnya, penajaan ini hanya berlaku secara one-off khususnya di peringkat sarjana kerana kebanyakan yuran IPTS melebihi RM10,000 bagi setiap semester," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan petang ini. Sejak pakej ini dilaksanakan, kata beliau, Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima permohonan daripada beberapa IPTS seperti University of Nottingham (Malaysian Campus), International Medical University, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Terbuka Wawasan supaya dipanjangkan kepada mereka.

"Susulan daripada permohonan berkenaan, kementerian telah meneliti semua IPTS yang mempunyai kapasiti melaksanakan program lepasan ijazah," katanya.

Menurut beliau, skim itu diberikan kepada IPTS yang hanya menawarkan pengajian jarak jauh dan separuh masa seperti Universiti Terbuka Wawasan dan Open University tidak termasuk di dalam perluasan ini.

Bagaimanapun Universiti Terbuka Wawasan dan Open University boleh diberi pertimbangan sekiranya pemohon adalah pelajar sepenuh masa dan ia akan dipertimbangkan atas dasar case by case," kata beliau lagi.

Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang telah dibentangkan pada 10 Mac lalu memperuntukkan kemudahan pembiayaan bagi pengajian ijazah lanjutan di institusi pengajian tinggi awam, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Multimedia bermula sesi akademik 2009/2010.

Selain itu menurut Khaled, pihaknya juga mempertimbangkan syarat-syarat berikut:

- berumur tidak melebihi 45 tahun bagi calon peringkat sarjana dan Ph.D pada tarikh memulakan pengajian (sebelum ini berumur tidak melebihi 35 tahun bagi calon sarjana dan 43 tahun bagi calon Ph.D pada tarikh memulakan pengajian);

- mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya purata nilai kumulatif (CGPA) 2.50 atau setaraf dengannya bagi pengajian peringkat sarjana dan berkelayakan sarjana yang baik bagi pengajian Ph.D (sebelum ini mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya CGPA 2.75 atau setaraf dengannya bagi pengajian peringkat sarjana dan berkelayakan sarjana yang baik bagi pengajian Ph.D)

"Jemaah Menteri telah pun dimaklumkan mengenai cadangan perluasan pembiayaan pengajian ijazah lanjutan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua kepada 19 buah institusi pengajian tinggi swasta lagi dan tiada halangan mengenainya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain