suria

1Malaysia akan dijadikan Malaysia lebih dihormati - Najib

SIBU: Penerimaan konsep 1Malaysia oleh semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, dapat menjadikan negara ini lebih dihormati dan disanjungi oleh lebih banyak negara di dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, hasil daripada hubungan antara Malaysia dan negara berkenaan kemudiannya dapat digunakan bagi menjalin hubungan ekonomi yang lebih kukuh lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Festival Kebudayaan Kebangsaan Cina kali ke-26 di medan bandar di sini malam tadi, yang dihadiri oleh kira-kira 40,000 orang.

Antara kenamaan yang turut hadir termasuk Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia, Tan Sri Lim Gait Tong, rakan sejawatannya di Sarawak Datuk Lau Cheng Kiong dan anggota Kabinet kerajaan persekutuan serta negeri.

Najib berkata disebabkan 1Malaysia, China khususnya menjadi semakin akrab dengan Malaysia.

"Sememangnyalah kita mempunyai hubungan sejarah yang bermula sejak 500 tahun lepas dengan ketibaan Laksamana Cheng Ho ke negara ini.

"Ramai kaum Cina turut menjadikan Malaysia sebagai tanah air mereka dan menerusi kerja keras serta keusahawanan, mereka memberi sumbangan yang amat besar kepada kejayaannya sekarang," kata beliau.

Najib berkata, beliau difahamkan China kini bersedia dengan sejumlah dana yang besar untuk melabur di Malaysia.

"Saya akan mengumumkan perkembangan yang sangat bererti ini dari semasa ke semasa," katanya.

Perdana Menteri berkata jika ekonomi negara berada dalam kedudukan yang baik, masyarakat sendiri akan memperoleh manfaatnya.

"Sebab itulah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan bermain politik. Kami tidak akan bercakap atau menjanjikan kepada rakyat apa yang kami tidak dapat tunaikan. Kami lebih suka rakyat menilai menerusi tindakan kami," katanya.

Sementara itu, Najib yang dibawa terus ke pasar malam di sini sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sibu, berkata beliau amat kagum dengan apa yang disaksikannya di sana.

"Kehadiran 1Malaysia sudah pun mula dirasai di Sibu. Di pasar malam itu saya dapat melihat 174 peniaga Cina dan Melayu bersama-sama berniaga di satu tempat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain