suria

Zambry: Tiada masalah dengan dua ADUN bebas

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menegaskan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah langsung dengan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang menyokong BN, tidak sepertimana dakwaan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata hubungan kerajaan negeri dengan Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering Kapt (B) Osman Jailu adalah baik dan tidak timbul soal keduadua Adun Bebas itu kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya harap rakyat tidak terperangkap dengan permainan pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolaholah suasana politik tidak stabil di Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini.

Menteri Besar mengulas desasdesus kebelakangan ini kononnya Jamaluddin dan Osman akan kembali menyertai PKR kerana tidak berpuas hati dengan BN yang dikatakan gagal menunaikan beberapa janji yang telah dibuat kepada dua Adun berkenaan termasuk melantik mereka sebagai Exco Negeri Perak.

Sementara itu Zambry mengulangi gesaannya bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin wajar melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) jika bekas Menteri Besar itu tidak lagi mampu memimpin persatuan itu dengan baik.

"Kita tidak boleh jadi manusia yang angkuh. Kalau kita rasa tidak mampu laksanakan tugas, kita serahlah kepada orang yang boleh buat. Kalau dia rasa dia mampu, dia buatlah," katanya.

Mohammad Nizar sebelum ini menganggap gesaan Zambry pada Rabu lepas agar beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden PAFA setelah para pemain skuad Seladang tidak dibayar gaji mulai bulan lepas, sebagai bermotif politik.

Mohammad Nizar yang memegang jawatan Presiden PAFA sejak November 2008 akan kekal dengan jawatan berkenaan hingga November 2010 kecuali meletak jawatan secara sukarela. BERNAMA

Artikel Lain