suria

Permohonan DPP kes Dr Hamimah didengar 15 Julai ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Julai ini untuk mendengar permohonan semakan keputusan perbicaraan semula kes seorang doktor wanita yang didakwa menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM41.33 juta, enam tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Siaifuddin Hashim Musaimi hari ini berkata permohonan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.

Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy membuat keputusan supaya kes itu dibicarakan semula berikutan Hakim Akhtar Tahir yang sebelum ini mendengar kes melibatkan Dr Hamimah Idruss itu bertukar ke Mahkamah Tinggi.

Dr Hamimah, 59, menghadapi lapan tuduhan menerima wang tersebut pada April 2003 dan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Dia turut didakwa atas 10 tuduhan bersubahat melakukan pemalsuan dokumen membabitkan wang berjumlah AS$12 juta (RM45.6 juta).

Di Mahkamah Sesyen pula hari ini, Hakim Komathy menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan kes sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan menyemak keputusan Mahkamah Sesyen oleh pihak pendakwaan.

Sejak lima tahun lalu, seramai 45 saksi pendakwa telah dipanggil untuk memberi keterangan. Kes yang mendapat liputan meluas pihak media pada awal 2004 itu turut melibatkan beberapa saksi dari luar negara dan Dr Hamimah merupakan orang pertama didakwa mengikut akta tersebut. BERNAMA

Artikel Lain