suria

Prosedur baru FIC tambah pelaburan diumum akhir Jun

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan mengumumkan usaha meningkatkan pelaburan dengan menambah baiki prosedur Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) akhir bulan ini.

Ia dijangka diumumkan pada 30 Jun ini sempena Invest Malaysia 2009.

"Kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah baik prosedur Jawatankuasa Pelaburan Asing bagi meningkatkan pelaburan.

"Saya akan membuat pengumuman pada akhir Jun akan datang mengenai perkara ini sempena Invest Malaysia 2009," kata beliau ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bertanya apakah benar Pakej Rangsangan Ekonomi yang dikemukakan oleh kerajaan baru-baru ini akan pergi kepada kumpulan sasaran iaitu untuk membantu rakyat terutama rakyat di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, kerajaan telah menubuhkan Unit Pengurusan Projek (PMU) bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi satu dan dua.

Kata Najib, daripada jumlah RM7 bilion yang diperuntukkan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Satu, 99 peratus atau RM6.95 bilion telah diagihkan.

Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, sejumlah 7,811 projek bernilai RM4.2 bilion telah diberikan sehingga 5 Jun lalu.

Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang diumumkan pada 10 Mac lalu memperuntukkan RM60 bilion, yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Najib yang juga Menteri Kewangan menafikan kedua-dua pakej berkenaan telah gagal mencapai sasaran sebagaimana didakwa pembangkang.

"Saya bimbang Ipoh Timor telah salah faham, sama ada beliau tidak faham ataupun sengaja buat tak faham... masalah ekonomi ini adalah kerana permintaan pasaran luaran yang dingin," katanya.

Artikel Lain