suria

Mahkamah Rayuan boleh semak keputusan sendiri, putus mahkamah itu

PUTRAJAYA: Pihak yang bersedih kerana telah habis sama sekali menggunakan peluang mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan kini boleh memohon agar mahkamah rayuan yang sama menyemak keputusan itu.

Ini berikutan keputusan penting yang dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Gopal Sri Ram (kini hakim Mahkamah Persekutuan) yang memutuskan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak rayuan itu, yang telah diputuskan, untuk mengelakkan dan memperbetulkan ketidakadilan kepada pihak itu.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan hari ini, Sri Ram berkata: "Kami berpendapat adalah penting untuk mengiktiraf bahawa mahkamah ini mempunyai baki bidang kuasa untuk membuka semula rayuan yang telah diputuskan, terutama dalam kes di mana tiada lagi saluran lain kepada pihak itu.

"Bidang kuasa untuk membuka dan menyemak semula itu adalah penting dalam sesuatu kes (seperti sekarang) bagi memastikan keadilan yang nyata tidak berlalu tanpa diperbetulkan," katanya.

Sri Ram membuat keputusan itu pada 17 April semasa bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha apabila membenarkan permohonan bekas jurulatih olahraga kebangsaan C. Ramanathan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai, 2008.

Pada 17 April, panel itu sebulat suara mengenepikan perintah Mahkamah Rayuan sebelum itu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Ramanathan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadapnya bagi kesalahan mencabul kehormatan dua atlet remaja perempuan bawah umur pada 1992.

Atlet berkenaan, ketika itu berumur 15 dan 16 tahun, sedang mengikuti latihan berpusat bagi Kejohanan Olahraga Remaja Asia di New Delhi.

Sabitan itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan Ramanathan.

Pada 11 Julai tahun lepas, Ramanathan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara empat tahun itu selepas Mahkamah Rayuan, di hadapan panel lain, memerintahkan beliau menjalani hukuman itu.

Sri Ram, dalam penghakimannya hari ini, berkata ini merupakan kes di mana berlaku ketidakadilan dan tiada saluran alternatif efektif yang ada untuk tertuduh, yang telah dibicarakan di mahkamah lebih rendah.

"Dalam kes ini, adalah jelas daripada afidavit yang difailkan bahawa apabila rayuan pendakwa raya didengar di mahkamah ini, peguam bela di kedua-dua belah pihak hanya berhujah mengenai dua perkara yang telah digunakan oleh Mahkamah Tinggi untuk menolak sabitan itu.

"Apa yang didapati daripada penghakiman mahkamah ini (sebelum ini) ialah mahkamah memilih untuk meneliti perkara-perkara lain," katanya.

Sri Ram berkata apa yang jelas ialah Ramanathan berhak untuk mengemukakan hujahan lain bagi menyokong perintah pembebasannya yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai jawapan kepada rayuan pendakwa raya, tetapi peluang seumpama itu dinafikan kepadanya.

"Penafian itu jelas jauh menyimpang daripada ketetapan prinsip prosedur keadilan," tegas Sri Ram.

Tertuduh dengan itu berjaya mewujudkan kes prima facie yang kukuh bahawa prosedur keadilan telah gagal dijalankan yang membolehkan mahkamah ini melaksanakan kuasa untuk mengenepikan penghakiman sebelum ini, katanya.

"Oleh yang demikian, tertuduh tidak mempunyai saluran yang efektif untuk memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku ke atas dirinya dan dengan itu kami tiada pilihan lain selain membenarkan usul tertuduh dan mengenepikan keputusan mahkamah ini sebelum ini.

"Rayuan ini akan didengar oleh panel lain mahkamah ini, membabitkan perkara-perkara lain bagi menjimatkan masa terhadap perkara yang telah diputuskan dalam penghakiman sebelum ini.

"Tertuduh adalah orang yang bebas sehingga keputusan Mahkamah Tinggi itu diubah," kata Sri Ram.

Ramanathan diwakili peguam Karpal Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Jamhirah Ali mewakili pihak pendakwaan. BERNAMA

Artikel Lain