KOTA BAHARU: Seorang lelaki yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kilometer 20, Jalan Pasir MasTanah Merah minggu lepas, disyaki antara yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang bomoh resdung wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata hasil siasatan polis mendapati lelaki berusia 33 tahun itu dikenal pasti sebagai seorang daripada empat suspek yang terbabit dalam kes samun dan bunuh wanita berkenaan.
"Lelaki itu meninggal dunia dalam satu kemalangan enam hari lalu selepas mengamuk dan menyamun sebuah kereta sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas merempuh sebuah lagi kereta jenis Proton Waja.
"Seorang wanita iaitu isteri lelaki yang mati dalam kemalangan itu ditahan Jumaat lepas bagi membantu siasatan manakala dua lagi masih dicari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jumaat lepas, polis menemui mayat Siti Halimah Salleh, 56, dalam keadaan berulat dalam gaung sedalam hampir 50 meter di Ladang Serasa, Gua Musang.
Siti Halimah yang dilapor hilang sejak 10 hari sebelum mayatnya ditemui, dipercayai disamun dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam gaung itu. Mazlan berkata siasatan awal polis mendapati Siti Halimah disamun oleh beberapa suspek sebelum dicekik hingga mati.
Beliau berkata dua lagi lelaki yang dicari polis bagi membantu siasatan kes itu ialah Kamaruzzaman Saari atau Amir, 39, dari Taman Damai, Padang Landak, dekat Jertih dan seorang perempuan berusia 20an yang dikenali sebagai Wawa.
"Kami percaya suspeksuspek berkenaan turut terlibat dalam tiga kes samun sebelum ini di Kuala Lipis, Kota Baharu dan Kuala Krai. Kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki dan wanita yang dicari itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. BERNAMA


