suria

Dua pelajar antara enam ditahan ketika bergaduh

KUANTAN: Polis menahan enam pemuda termasuk dua pelajar sekolah menengah yang sedang bergaduh di belakang sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tun Ismail di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T.Narenasagaran berkata kesemua mereka yang ditahan pada kira-kira pukul 8.45 malam itu berusia antara 13 dan 22 tahun.

"Ketika polis tiba di tempat kejadian, mereka sedang bergaduh dan polis berjaya meleraikan pergaduhan itu serta merampas sebilah pisau pemotong daging daripada salah seorang dari mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca pergaduhan itu.

Sementara itu, Narenasagaran berkata lima remaja termasuk empat pelajar sekolah menengah ditahan kerana disyaki mencuri telefon bimbit di sebuah premis perniagaan telefon bimbit di Jalan Datuk Abdullah dekat Raub Jumaat lepas.

Beliau berkata suspek yang berusia 13 hingga 17 tahun itu disyaki mencuri 40 telefon bimbit bernilai RM3,500.

"Polis menemui semula 20 telefon bimbit. Kami percayai (telefon) selebihnya telah dijual kepada orang ramai," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain