suria

Rang Undang-undang Suhakam diluluskan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Pindaan) 2009 akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat petang ini setelah menempuh pelbagai halangan, termasuk melalui dua proses undi belah bahagi iaitu di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Undi belah bahagi pertama dilakukan semasa perbahasan di peringkat dasar apabila wakilwakil pembangkang membantah kelulusan rang undang-undang itu di peringkat berkenaan kerana alasan mereka tidak diberi hak untuk membahaskannya secara menyeluruh.

Kemarahan anggota pembangkang memuncak apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menggulung perbahasan rang undang-undang itu tidak memberi sebarang peluang untuk mereka mencelah, sebaliknya terus membaca teks penggulungannya.

Ekoran kekecohan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan supaya diadakan undi belah bahagi untuk meredakan keadaan. Keputusan undian menyebelahi pihak kerajaan dengan 45 undi menyokong berbanding 39 yang menentang. Tidak puas hati dengan keputusan itu, pembangkang sekali lagi cuba untuk menghalang rang undang-undang itu daripada diluluskan apabila menuntut proses undi belah bahagi dijalankan ketika rang undang-undang itu dibahaskan di peringkat jawatankuasa.

Cubaan itu juga gagal apabila keputusan undian masih memihak kepada kerajaan, dengan 50 anggota bersetuju dengan pindaan rang undang-undang tersebut berbanding 39 yang menentang.

Ketika menggulung perbahasan, Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak pernah menggubal undangundang yang bersifat diskriminasi, malah setiap undang-undang digubal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya Fasal (1) Perkara 8 iaitu semua orang mempunyai hak dan mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Beliau berkata kerajaan juga tidak berhasrat mewujudkan diskriminasi berhubung pelantikan anggota jawatankuasa Suhakam mengikut Peruntukan 11A (1) yang menyatakan keanggotaan jawatankuasa terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Pengerusi Suruhanjaya dan tiga anggota daripada orang yang terkemuka.

"Dalam hal ini, jika mana-mana anggota jawatankuasa itu, sebagai contoh Ketua Setiausaha Negara adalah seorang wanita, maka sudah tentu beliau akan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa," katanya.

Mohamed Nazri berkata melalui peruntukan 11A (4) anggota jawatankuasa tidak boleh dilantik di kalangan mana-mana individu yang berdaftar dengan parti politik, walaupun orang yang tidak berdaftar dengan parti politik tetapi mempunyai sikap memihak, boleh dilantik.

"Sebagai contoh ahli Majlis Peguam yang tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik boleh dilantik sebagai anggota jawatankuasa walaupun mereka mempunyai pandangan politik secara partisan," katanya.

Beliau berkata, antara kriteria bagi melantik anggota Suhakam adalah seseorang yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan dalam bidang perhubungan dan undang-undang antarabangsa, sumbangan dalam mempromosi dan mempertahan isu wanita dan kanak-kanak serta mempunyai kedudukan moral yang tinggi.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain