suria

Warga emas mati ditikam dalam cubaan merompak di Tawau

TAWAU: Seorang wanita warga emas terbunuh selepas ditikam dalam kejadian cubaan merompak di premis perniagaan runcitnya di kilometer 23, Apas Parit, di sini awal hari ini.

Chong Len Yin, 73, dijumpai berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian perut, dada dan dahi kiri di hadapan kaunter kedai runcitnya dalam kejadian yang percayai berlaku antara jam 8.30 pagi dan 9 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Ramli Ali Mat ketika ditemui di tempat kejadian berkata siasatan awal mendapati tiga lelaki dilihat memasuki kedai runcit itu sebelum kejadian.

"Oleh kerana pemilik kedai (mangsa) dipercayai cuba melawan, ketigatiga suspek terus meninggalkan mangsa tanpa mengambil apaapa dari kedai itu," katanya.

Ramli berkata polis turut menjumpai sebilah pisau yang biasanya digunakan oleh Chong untuk mengupas buah-buahan di tempat kejadian. Kes itu diklasifikasikan sebagai kes cubaan merompak yang mengakibatkan pembunuhan.

Chong yang mengusahakan perniagaan runcitnya di situ sejak 40 tahun lepas, mempunyai lima anak seorang lelaki dan empat perempuan.

Anak lelaki mangsa, Chang Sung Loi, 45, berkata kedai runcit itu yang terletak kirakira 200 meter dari sebuah pondok polis, pernah dimasuki perompak kira-kira 10 tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain