suria

Batang Ai satu ujian menjelang pilihanraya negeri 2011

LUBOK ANTU: Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Batang Ai 7 April ini dianggap sebagai satu ujian bagi Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat menjelang pilihan raya negeri pada 2011.

Walaupun pada hari yang sama, dua lagi pilihan raya kecil di Semenanjung kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kerusi negeri Bukit Selambau di Kedah akan mendapat perhatian yang lebih, namun keputusan di Batang Ai akan dijadikan ukuran kepada sokongan pengundi Iban terhadap parti pemerintah atau parti pembangkang.

Batang Ai, yang terkenal dengan empangan hidronya, mempunyai 8,006 pengundi, 95 peratus daripadanya daripada masyarakat Iban. Selebihnya adalah pengundi Cina dan Melayu.

Pemerhati politik berkata jika BN mampu meraih kemenangan besar, ia akan menyekat kemaraan PKR ke satu kawasan yang baru baginya. Dalam pilihan raya negeri yang lepas, calon BN Datuk Dublin Unting Ingkot menewaskan Nicholas Bawin dari SNAP dengan 806 undi. Unting meninggal dunia bulan lepas akibat serangan angin ahmar.

Kali ini BN meletakkan jurutera Jabatan Pertanian, Malcolm Mussen Lamoh, 49, manakala PKR memilih bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang, 55, dahulunya daripada BN.

Penulis blog Johnny Chuat, 38, turut menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas. Penamaan calon ialah pada Ahad ini.

Anggota Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak daripada BN, berkata beliau yakin Mussen mampu menewaskan Jawah walaupun calon PKR itu mempunyai sokongan akar umbi yang kuat kerana telah menjadi Anggota Parlimen di situ selama lima penggal.

Batang Ai dan Engkilili adalah dua kerusi dewan undangan dalam kawasan Parlimen Lubok Antu. "Rakyat tahu bahawa hanya wakil rakyat BN yang dapat membawa nikmat pembangunan kepada mereka," kata Nyalau.

Ketika ditanya sama ada penyertaan calon bebas akan menyebabkan undi berpecah, beliau berkata undi yang akan diraih oleh calon bebas adalah daripada pengundi pembangkang dan ini akan memberi kelebihan kepada BN.

Ketika mengumumkan nama Mussen sebagai calon BN, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata calon BN itu, walaupun muka baru, akan menjadi seorang wakil rakyat yang berkesan dan satu aset kepada masyarakat Iban.

Seorang penduduk tempatan, Kerti Ikan, 53, dari Rumah Tutong di Nanga Telaus, Lubok Antu, mengakui bahawa kerajaan BN mempunyai rekod yang baik khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain