suria

DPMM mahu kerajaan sedia dana RM2 bilion bantu usahawan Bumiputera bermasalah

KUALA LUMPUR Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)meminta kerajaan mewujudkan sebuah tabung bernilai RM2 bilion bagi membantu usahawan Bumiputera melepasi kegawatan ekonomi ketika ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, sebuah tabung menyamai Tabung Pemulihan Usahawan yang pernah diseliakan oleh Bank Negara Malaysia pada krisis ekonomi sebelum ini harus diwujudkan semula.

Katanya, Tabung Pemulihan Usahawan itu dahulu berjaya membantu ramai usahawan memulihkan perniagaan mereka terutama yang sukar mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan ketika itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34 DPMM Kuala Lumpur di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz merasmikan Mesyuarat Agung tersebut.

Muhammad Muhiyuddin berkata, saranan penubuhan tabung tersebut telah disuarakan kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dua bulan lalu.

"Diharapkan ia akan diambil perhatian dan dimasukkan ke dalam Bajet Mini yang akan dibentangkan minggu hadapan," katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah presiden DPMM Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri. BERNAMA

Artikel Lain