suria

Rasuah kuari: PKR ambil tindakan jika ada bukti, kata Anwar

PULAU PINANG: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan berhubung dakwaan rasuah melibatkan dua pemimpin parti negeri, jika ada bukti kukuh.

Beliau berkata, jawatankuasa yang berkenaan akan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat.

"Jika ada bukti kukuh, dengan itu saya akan maklumkan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas beliau dan Lim secara bersama melancarkan projek WiFi Percuma Pulau Pinang di Sunway Cannival Mall di Seberang Jaya hari ini.

Khamis lepas, Amizudin mendakwa dua pemimpin PKR negeri menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari.

Sementara itu, Lim menyelar tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air terhadap orang ramai yang berhimpun bagi menyerahkan Memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Dilaporkan polis mengambil tindakan itu bagi menyuraikan orang ramai yang berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara di Kuala Lumpur semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain