suria

BN Perak senarai 3 nama calon Bukit Gantang

TAIPING: Tiga calon, termasuk wanita telah disenaraikan oleh Barisan Nasional (BN) Perak untuk dipilih oleh pucuk pimpinan bagi mewakili BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April ini. Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, senarai nama tiga calon tempatan daripada Umno itu telah dikemukakan dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

"Ini calon yang boleh diterima oleh rakyat. Kita sudahpun mengenal pasti calon yang mendapat sokongan daripada rakyat.

"Calon yang dianggap calon popular," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Acara Merentas Desa Sekolah Tinggi Hua Lian di sini hari ini.

Zambry berkata, ketiga-tiga calon yang disenaraikan itu dianggap popular di kalangan mesyarakat pelbagai kaum di kawasan parlimen berkenaan.

"Saya sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merangkap Pengerusi Perhubungan BN Perak berhubung perkara itu dan calon yang disenaraikan adalah calon untuk semua kaum," katanya.

Beliau bagaimanapun hanya mengulas ringkas apabila ditanya sama ada calon yang disenaraikan itu adalah di kalangan pimpinan Umno peringkat bahagian.

"Soal jawatan itu (dalam bahagian) mungkin penting, mungkin tidak penting. Yang penting ialah calon itu disukai rakyat... yang datangnya daripada kalangan orang tempatan," katanya.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Roslan Shaharum daripada PAS. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 29 Mac dan pengundian 7 April.

Pilihan raya kecil itu akan berlangsung serentak dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Air, Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, kerajaan BN Perak tidak akan menarik balik pemberian tanah 1,000 hektar oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang sebelum ini kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina di Perak.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberi tanah atau harta bentuk lain kepada sekolah agama di Perak seperti yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina.

Kerajaan negeri sebelum ini meluluskan tanah berkenaan untuk dimajukan sebagai ladang oleh sembilan sekolah terbabit. BERNAMA

Artikel Lain