KUALA LUMPUR: Seorang peragawati didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki empat pokok ganja dan 10 ketulan mampat bahan tumbuhan jenis dadah kanabis.
Nor Azlina Noor Akhmad, 28, dari Sri Hartamas didakwa memiliki empat pokok ganja di No.121112, Hartamas Regency Condo 1, Persiaran Dutamas, Off Jalan Duta, Sri Hartamas, pukul 11.30 malam, pada 20 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Nor Azlina juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki 10 ketulan mampat bahan tumbuhan disyaki dadah jenis kanabis di tempat dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap keduadua pertuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah K.M. Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kepadanya.
Hakim Mohd Sekeri Mamat menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan kes itu. BERNAMA


