suria

Polis sambung reman tiga lelaki kes bunuh juruwang

IPOH: Tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes bunuh dan samun di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar, di sini, pada 11 November lepas, disambung reman tiga hari bermula, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, tiga lelaki berusia 19 hingga 41 tahun ditahan di rumah mereka di Bercham pada petang Jumaat lepas, selepas polis menjalankan siasatan serta mendapat bukti-bukti yang boleh disabit berhubung kejadian itu.

"Sebelum ini, ketigatiga mereka ditahan reman seminggu dan polis kemudian menyambung sehingga tiga hari lagi yang berakhir Isnin ini.

"Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan individu yang bersalah menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis masih lagi memburu seorang lagi lelaki dipercayai juga suspek kes terbabit.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dalam sidang akhbarnya Rabu lepas berkata polis telah menahan tiga lelaki India berkaitan kes pembunuhan bermotif samun, tiga hari selepas kejadian. "Polis juga merampas sebilah parang, topi keledar dan pakaian dipercayai digunakan mereka semasa melakukan jenayah terbabit dan kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi, 11 November lepas, Pembantu Pentadbir Jabatan Agama Islam Perak, Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak Petronas di Jalan Kuala Kangsar di sini, mati akibat ditetak dalam kejadian samun itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain