suria

Isu Eurocopter: Kit Siang dakwa Azmi boneka Kabinet

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid sebagai boneka kepada beberapa kementerian tertentu dalam membuat keputusan berhubung siasatan jawatankuasa tersebut terhadap isu pembelian Eurocopter EC-725.

Katanya, keputusan yang yang diumukan Azmi semalam yang mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur pembelian eurocopter tersebut boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PAC.

"Bagaimana beliau mendakwa tiada penyelewengan dalam prosedur urusan tender sedangkan tiada penilaian fizikal dan pandu uji dibuat terhadap helikopter berkenaan... itulah penyelewengan prosedur?" katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menggesa supaya Azmi menyerahkan laporan lengkap siasatan tersebut kepada Parlimen untuk dibahaskan sama ada untuk menerima atau menolak keputusan yang dibuat.

Lim juga mahu bertindak sebagai pengerusi PAC yang telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan tertentu.

"Saya bukan minta dia undur, saya hanya mahu dia berindak sebagai pengerusi yang betul kerana pencapaiaannya kini sebagai pengerusi amat mendukacitakan," katanya.

Semalam Azmi mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kirakira Wang Negara (PAC) mendapati tidak ada penyelewengan daripada segi prosedur dalam pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion.

Jelas Azmi, berdasarkan kepada tinjauan selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, didapati prosedur pembelian memang mengikut tatacara yang ditentukan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Lim menambah, Azmi tidak seharusnya mempunyai 'pemikiran ala menteri' yang akan mempengaruhi keputusannya yang boleh mewujudkan keraguan orang ramai.

"Dia tak sepatutnya dipengaruhi untuk beliau kembali menyertai Kabinet dalam pentadbiran baru (Datuk Seri Mohd) Najib yanga akan bermula lima bulan lagi," katanya.

Azmi adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada penggal lalu.

Dalam sidang media tersebut Lim turut memberitahu bahawa keputusan yang dibuat oleh PAC tidak dicapai sebulat suara.

"Keputusan yang dibuat bukan berdasarkan pandangan semua ahli PAC, ia sangat tidak adil dan tidak demokrasi apabila Azmi mendakwa keputusan tersebut adalah keputusan bersama.

"Saya juga diberitahu bahawa tiada sebarang undian dibuat sebelum keputusan itu dibuat," katanya.

Apabila ditanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku sedangkan Timbalan Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw yang juga ahli Parlimen DAP turut terlibat dalam membuat keputusan tersebut beliau enggan mengulas lanjut.

"Perkara itu kamu boleh tanya dia sendiri, tapi saya dimaklumkan demikian," katanya.

Artikel Lain