suria

Rumah Ghafar wajar dijadikan memorial Heryati

KUALA LUMPUR: Heryati Abdul Rahim, bekas isteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, merayu kepada kerajaan supaya menjadikan rumah bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai sebuah memorial.

Rumah itu yang terletak di Jalan Tengku Ampuan, Taman Duta di sini, kata beliau, hendaklah dijadikan Memorial Tun Ghafar Baba sebagai memperingati jasa dan bakti bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Tun ialah seorang wira. Jadi adalah lebih wajar ada sebuah memorial untuk Allahyarham bagi memperingatinya. Allahyarham sepatutnya diberikan kedudukan khas dalam sejarah tanah air.

"Generasi akan datang hendaklah jangan melupakan Allahyarham kerana beliau juga melakukan sesuatu untuk negara," katanya kepada Bernama setelah menziarah pusara Allahyarham di perkarangan Masjid Negara di sini hari ini.

Heryati diiringi oleh anaknya Kartika Sari.

Rumah itu, kata Heryati dibeli pada 1996 dan kemudiannya dijadikan kediaman rasmi Allahyarham sehingga beliau meninggal dunia pada April 2006.

Katanya, beliau masih tinggal di rumah itu tetapi bersedia untuk berpindah jika pihak berkuasa mahu menjadikan rumah tersebut sebagai sebuah memorial.

Ghafar ialah Timbalan Perdana Menteri dari 1986 hingga 1993.

Beliau mencatat rekod dengan bertanding pada 11 pilihan raya umum sejak negara ini mengadakan pilihan raya umum pertama pada 1955, dengan yang terakhir pada 1999. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain