SUASANA pilu menyelubungi kawasan sebuah sekolah rendah apabila seorang bapa sanggup bersujud agar kes kematian anaknya segera dirungkai.
Sekitar 28 Mac lalu, seorang murid lelaki dilaporkan maut terkena renjatan elektrik dipercayai terpijak kabel AC yang terkeluar.
Tanu Hariadi, ayah mangsa menzahirkan kekecewaannya terhadap pihak polis yang dilihat berdiam diri sejurus membatalkan pemeriksaan lokasi di tapak kejadian di Surabaya, Indonesia itu.
"Tolong bongkarkan kebenaran. Anak kucing saja kalau meninggal kita tanam baik-baik. Saya tak tahu kenapa ditunda.
"Saya masih berfikir positif bahawa penyiasat bersikap profesional," luahnya.
Mangsa yang bakal menjalani ujian praktikal Pendidikan Jasmani, Sukan dan Kesihatan (PJOK) bersama rakannya tiba di perkarangan sekolah pada pagi kejadian, namun mendapati tangga menuju kelasnya ditutup.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Murid maut terkena renjatan elektrik di sekolah
Susulan itu, mereka mengambil keputusan ke bumbung sekolah, di mana tragedi berlaku sebaik sahaja mangsa melangkah masuk ke kawasan berkenaan.
"Anak saya menjerit, katanya terkena renjatan elektrik. Dia terlihat kaku kira-kira 40 saat sebelum terjatuh dan kepalanya terhantuk di pagar," ujar Tanu.
Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Adi Husada oleh rakannya dan disahkan meninggal dunia selang beberapa minit kemudian.
Hasil pemeriksaan mendapati luka pada kaki, kesan merah di bahagian belakang badan serta bintik merah pada lengan mangsa, disyaki akibat urat saraf terputus.
Sementara itu, ibu mangsa, Christine menambah, "Saya minta keadilan, sekiranya perlu ganti nyawa, ganti sahaja nyawa saya. Mana ada orang tua ingin anaknya begini. Ini bukan anak kucing, ini anak manusia."
Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Surabaya, AKP Rina Shanty Dewi mengesahkan laporan difailkan keluarga mangsa dan menyatakan pihaknya menerima keterangan daripada lima orang saksi, termasuk pihak sekolah. -Agensi


