SEORANG pelancong Malaysia maut selepas terjatuh dari balkoni sebuah hotel di Patong, Phuket di Thailand.
Menurut The Phuket News, kejadian berlaku sekitar pukul 1.30 pagi Jumaat apabila Hospital Patong memaklumkan seorang lelaki warga asing meninggal dunia selepas jatuh dari bangunan hotel.
Pegawai penyiasat Balai Polis Patong, Leftenan Polis Chanarong Prakongkeo, berkata mangsa lelaki Malaysia berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Bagaimanapun, identitinya belum didedahkan.
Terdahulu mangsa yang berasal dari Selangor, tiba di Thailand pada 8 Mei (Khamis) bersama lebih 20 pelancong Malaysia.
Dia berkongsi bilik dengan tiga rakan di Patong.
Menurut saksi yang juga rakan mangsa, sebelum kejadian lelaki itu berkelakuan aneh namun tidak dinyatakan secara terperinci.
Dia dikatakan terselamat selepas jatuh ke balkoni namun sekali terjatuh ke tanah sehingga mengalami kecederaan parah.
Pasukan perubatan cuba menyelamatkannya tetapi mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Pihak polis memaklumkan kematian itu kepada Kedutaan Malaysia dan siasatan masih diteruskan termasuk semakan rakaman CCTV serta keterangan saksi. -Agensi