suria

Telefon Pintar AS$4 Di India Dibimbangi Tidak Mampu Imbangi Gaji Pekerja

MUMBAI: Syarikat dari India yang menghasilkan telefon pintar pada harga AS$4 (RM16) berharap harga serendah itu akan membolehkan berjuta-juta rakyat termiskin memiliki telefon mudah alih dengan sasaran 10 peratus penembusan pasaran.

Tetapi kumpulan yang berkempen tentang hak-hak pekerja bimbang usaha mengeluarkan telefon bimbit dan tablet murah itu mungkin membawa kepada penyalahgunaan hak-hak pekerja yang lebih besar di India.


Telefon pintar Ringing Bells' Freedom 251  yang dilancarkan pada Februari, berharga 251 rupee (RM14.80) mungkin menjadi telefon pintar Android paling murah di dunia.

Pada Khamis, Ketua Eksekutif syarikat, Mohit Goel berkata penghantaran pertama kira-kira 200,000 telefon bimbit dijadualkan dibuat pada minggu depan.

Ringing Bells membayar gaji yang adil kepada pekerja-pekerjanya dan model yang lebih mahal akan membantu mengimbangi kos AS$4 telefon itu, katanya.

"Visi kami adalah untuk menjadikan telefon mudah alih lebih mampu milik kepada berjuta-juta rakyat miskin di India yang tidak memiliki walau satu telefon," Goel memberitahu Thomson Reuters Foundation.

India telah menjual sebanyak 103 juta telefon bimbit pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 29 peratus pada tahun sebelumnya.

Dengan hanya seorang daripada 10 rakyat India memiliki telefon mudah alih, terdapat potensi yang besar, sebahagian besarnya daripada pasaran lebih rendah di mana berpuluh-puluh jenama tempatan dan asing bersaing untuk mendapat pelanggan dengan sesetengah telefon bimbit dijual kurang dari AS$25 (RM100).

Bagaimanapun, tekanan untuk mengekalkan kos yang rendah menyebabkan pengeluar terpaksa membayar gaji rendah, bergantung kepada tenaga buruh kontrak lebih murah dan enggan membayar untuk kerja lebih masa, menurut aktivis.

"Tanggungjawab terhadap rantaian bekalan dan pekerja terletak di tangan jenama syarikat-syarikat ," kata setiausaha agung kumpulan kempen hak-hak pekerja di Cividep, Gopinath Parakuni.

"Peraturan-peraturan kami tidak cukup kuat untuk memastikan pekerja dalam industri elektronik dijaga," katanya.

Bulan lepas Cividep dan syarikat GoodElectronics yang berpangkalan di Amsterdam mengeluarkan laporan mengenai Samsung Electronics, pendahulu pasaran mudah alih India, yang mendapati bahawa pekerja Samsung tidak diselenggara dan dibayar gaji dengan baik, namun masalah itu tidak dapat diselesaikan dengan berkesan.

Jurucakap Samsung India berkata syarikat itu mematuhi semua undang-undang buruh dan peraturan berkaitan di mana sahaja ia beroperasi.

"Keadilan dan menghormati semua adalah nilai-nilai yang menjadi asas kepada perniagaan kami," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Artikel Lain