suria

Ratusan Kereta Terperangkap Dalam Runtuhan Salji Tebal Di Jepun

TOKYO: Beratus-ratus buah kenderaan terperangkap di jalan lereng bukit di Jepun selepas dilanda ribut salji yang kini menuju ke bahagian utara, kata pegawai, Ahad.

Ribut salji telah membunuh tiga orang, menjejaskan lebih 100 penerbangan dan mengganggu pengangkutan jalan raya dan kereta api pada Jumaat dan Sabtu.

Salji kini bergerak ke arah utara, menurut agensi meteorologi Jepun, Ahad, yang mengeluarkan amaran salji tebal, ribut dan runtuhan salji serta ombak tinggi di timur dan utara Jepun.

National Routes 18 yang menghubungkan Gunma dan Nagano di wilayah utara Tokyo sebahagiannya ditutup kerana beratus-ratus kereta terperangkap dalam salji tebal, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.

Kesesakan tersebut berlanjutan untuk beberapa kilometer, kata pegawai itu di resort ski di Karuizawa, wilayah Nagano.

"Kami telah membuka tiga dewan komuniti di kawasan berdekatan untuk orang-orang yang berada di dalam kereta yang terperangkap dan kini bersedia untuk menawarkan makanan panas," katanya.

"Sesetengah pemandu telah kehabisan petrol jadi mereka memerlukan tempat perlindungan sementara."

Lebih 250 buah kereta terperangkap di jalan raya, Asahi Shimbun melaporkan.

Suhu menurun serendah -3.6 darjah Celsius pada pagi Ahad di Karuizawa, dengan salji terkumpul dengan kedalaman kira-kira 90 sentimeter (36 inci), kata agensi cuaca.

Kesesakan berlanjutan sepanjang 30 kilometer di National Route 4 yang menghubungkan wilayah utara Fukushima dan Miyagi, penyiar awam NHK melaporkan.

Kementerian Pengangkutan telah mula menyampaikan bantuan kecemasan termasuk air dan tandas mudah alih tandas untuk pemandu kereta yang terperangkap, katanya.

Salji mula turun pada pagi Jumaat di Tokyo dan telah menyebabkan timbunan sehingga 26 sentimeter pada awal Sabtu, seminggu selepas salji yang paling tebal turun dalam tempoh beberapa dekad meninggalkan 11 orang maut dan lebih 1,200 cedera di seluruh negara.

Artikel Lain