suria

Kunjungan Obama Ke Malaysia Bukti AS Iktiraf Kedudukan Penting Asia

WASHINGTON: Kunjungan Presiden Amerika Barack Obama ke Malaysia dan tiga negara Asia lain - Jepun, Korea Selatan dan Filipina - yang diadual berlangsung April ini, dengan jelas menunjukkan bahawa Asia mempunyai kedudukan penting bagi pentadbiran negara itu, seperti yang diakui Washington sebelum ini.

Walaupun kunjungan itu dijangka diadakan pada penghujung April, namun tarikh sebenarnya belum dimuktamadkan dengan negara terbabit.

Asia, termasuk Asia Tenggara, mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam percaturan strategik Amerika bagi tempoh separuh abad akan datang kerana Washington mendapati rantau itu "menawarkan banyak peluang dan cabaran, seperti yang disuarakan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Ashton Carter kepada penulis dalam satu perbincangan di Asia Society di New York hampir dua tahun lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan setiausaha akhbar White House, dalam kunjungan itu, Obama akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 'untuk menjelaskan kemajuan besar' yang dicapai dalam usaha mengeratkan hubungan diplomatik dua hala, di samping hubungan ekonomi dan pertahanan dengan 'satu rakan penting' di Asia Tenggara.

Selain mengukuhkan hubungan dua hala, terutama dalam bidang ekonomi dan keselamatan, Obama juga akan meminta kepimpinan Malaysia bergerak seiring dengan usaha negaranya bagi membentuk Perkongsian Merentas Pasifik (TPP) serta menjelaskan kepada Malaysia kelebihan yang akan dinikmatinya jika ia menyertai pakatan itu yang dianggap sebuah blok perdagangan yang amat kuat di rantau Asia Pasifik.

Kunjungan beberapa delegasi swasta ke Malaysia sebelum ini, termasuk oleh majlis Perniagaan Amerika-Asean November lepas, mengukuhkan lagi pendapat bahawa perdagangan Amerika-Malaysia boleh dilonjakkan melalui TPP.

Menurut Biro Konsensus Jabatan Perdagangan Amerika, pada 2013, dagangan dua hala Amerika-Malaysia mencatat jumlah $40.291 bilion, dengan eksport Amerika ke Malaysia mencecah $13.005 bilion dan eksport Malaysia ke Amerika pula mencapai $27.286 bilion serta membolehkan Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak $14.281 bilion.

Prospek wujudnya peluang perniagaan menarik hasil daripada pembentukan TPP kelihatan turut mendorong masyarakat peniaga Amerika mengeratkan lagi hubungan dengan rantau Asia.

Satu lagi perkara yang menjadi daya tarikan tambahan kepada ahli perniagaan Amerika ialah pembentukan Komuniti Ekonomi Asean pada 2015.

Pentadbiran Amerika juga berminat meningkatkan kerjasama keselamatan, bukan sahaja dengan negara Asia lain yang bakal beliau kunjungi itu, tetapi juga dengan Malaysia kerana kedudukannya yang strategik di rantau berkenaan, berikutan langkah China yang semakin menampakkan sikapnya sedia berperang dan mengancam kesejahteraan di rantau itu melalui tuntutannya terhadap beberapa pulau di Laut China Selatan dan Timur.

Kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein ketika mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Amerika Chuck Hagel di Pentagon, Washington baru-baru ini tentang pentingnya hubungan keselamatan Amerika-Malaysia dalam membina keyakinan dan perkongsian pengalaman serta kaedah latihan dalam kalangan pegawai ketenteraan dari kedua-dua negara, disambut baik oleh Washington.

Pada perjumpaan itu, mereka berbincang tentang pelbagai isu keselamatan antarabangsa, daripada yang melibatkan Afghanistan dan Korea Utara, hinggalah kepada cabaran keselamatan serantau yang dihadapi Asean.

Sambil menggesa Asean meningkatkan kerjasama keselamatan serantau, Hagel menyifatkan Malaysia sebagai "rakan penting Amerika di Asia Tenggara, yang banyak menyumbang kepada bidang keselamatan dan pertahanan - sama ada secara individu atau melalui kerjasama dengan negara anggota Asean lain".

Menurut Pejabat Setiausaha Akhbar White House, pengumuman yang begitu dinanti-natikan tentang kunjungan Obama ke empat negara Asia itu ditonjolkan sebagai sebahagian daripada komitmen Amerika untuk meningkatkan penglibatannya dalam bidang diplomatik, ekonomi dan keselamatan.

Kunjungan Obama ke Manila dan Kuala Lumpur juga bertujuan meredakan perasaan tidak senang hati yang wujud di dua negara berkenaan berikutan pembatalan lawatan beliau yang tidak dapat dielakkan pada Oktober tahun lepas akibat penutupan sebahagian pentadbiran kerajaan Amerika.

Di samping itu, kunjungan beliau ke Filipina juga dilakukan untuk menunjukkan sokongan Amerika kepada kerajaan pimpinan Presiden Aquino dalam menghadapi sikap keras China di Laut China Selatan.

Menurut beberapa sumber Amerika, Washington dan Manila sedang merangka satu perjanjian pertahanan baharu, walaupun butiran mengenainya belum diumumkan atau terdapat sebarang tanda jelas bahawa ia sudah siap disediakan untuk ditandatangani ketika kunjungan Obama.

Kunjungan Obama ke Jepun dan Korea Selatan pula bertujuan mengeratkan hubungan Amerika dengan dua negara itu.

Walaupun kunjungan Obama ke Jepun April ini atas undangan Perdana Menteri Shinzu Abe sudah diketahui umum beberapa bulan lepas, tetapi beliau menambah Korea Selatan dalam jadual perjalanannya bagi memenuhi desakan pelobi Asia di Amerika dan Seoul, yang mengalami beberapa ketegangan dengan Tokyo baru-baru ini.

Langkah memasukkan Korea Selatan ke dalam jadual lawatan Obama ini juga bertujuan memberi isyarat kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un bahawa Amerika dan Korea Selatan sepakat dalam menentang program nuklear Korea Utara dan sebarang niatnya untuk berperang.

Di samping itu, dengan melakukan persinggahan di Seoul, Obama juga ingin mengelak daripada menyinggung perasaan Presiden Korea Selatan Park Geun-hye sekiranya beliau hanya berkunjung ke Tokyo, tetapi tidak ke Seoul. - BERNAMA

Artikel Lain