JAKARTA: Pelancong asing yang melawat Indonesia sepanjang empat bulan pertama tahun ini meningkat 8.9 peratus, suatu angka yang melebihi kadar pertumbuhan pelancongan dunia iaitu pada kadar kira-kira lima peratus.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Mari Elka Pangestu berkata peningkatan bilangan pelancong asing itu, yang dijangka positif sehingga akhir tahun diharap akan menjadi penyokong penting kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia.
"Tentunya yang menjadi tujuan utama bukan sahaja jumlah pelancong antarabangsa, tetapi juga peningkatan kualiti, iaitu tempoh masa tinggal yang lebih lama, pengeluarannya lebih tinggi dan pelancongan yang berkesinambungan," katanya seperti yang dipetik akhbar harian Kompas, Selasa.
Sementara itu, Ketua Badan Pusat Statistik, Suryamin berkata pelancong asing yang melawat Indonesia pada April tahun ini berjumlah 626,100 orang, meningkat 2.96 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah pelancong asing yang melawat Indonesia dari Januari hingga April tahun ini pula, kata Suryamin ialah sebanyak 2.52 juta orang, atau peningkatan sebanyak 8.9 peratus.
Menteri Pelancongan Indonesia berkata Lapangan Terbang Husein Sastranegara Bandung, Jawa Barat, mengalami pertumbuhan kemasukan pelancong asing tertinggi iaitu 24.62 peratus, berbanding 18 pintu masuk lain di Indonesia dan ia berkait rapat dengan promosi yang aktif serta pertambahan kekerapan penerbangan terutamanya dari pasar terdekat seperti Malaysia dan Singapura. - BERNAMA


