suria

Pusat Konvensyen Jakarta: Pesaing Terbaru

FRANKFURT: Rancangan oleh Indonesia untuk mewujudkan satu pusat pameran dan konvensyen terbesar di tengah-tengah bandaraya Jakarta, kini sedang dipantau secara dekat oleh pusat-pusat konvensyen pesaing yang lain di Thailand, Malaysia dan Singapura.

Tetapi, tidak semua yang terlibat dalam perniagaan pameran dan konvensyen merasa terancam dengan kemunculan pesaing baru dalam industri ini.

John Lee, perunding pengurusan berpangkalan di Singapura yang menyediakan perkhidmatan perundingan kepada sektor pengembaraan perniagaan berkata, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Jakarta (JIECC) itu akan hanya menambah kepada aset pameran dan konvensyen di Asia Tenggara.

"Kemunculan pesaing baharu tidak seharusnya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan venue yang sedia ada kerana mereka telahpun menonjolkan keistimewaan dalam bidang khusus masing-masing," katanya.

Datuk Peter Brokenshire, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, juga tidak sedikitpun "terusik" dengan kemunculan JIECC.

"Kami dalam perniagaan konvensyen. Venue di Jakarta itu, kemungkinan, turut memberi tumpuan kepada perniagaan pameran. Ia tidak akan menjejaskan kami," kata Brokenshire.

Beliau berkata KLCC telah mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada persatuan antarabangsa dan telah berjaya menarik persatuan antarabangsa utama mengadakan konvensyen mereka di sini.

IndraSukirno, pengarah eksekutif dan ketua eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Jakarta berkata, Indonesia merasakan perlunya untuk mempunyai satu venue yang moden dan luas memandangkan banyak mesyuarat dan pameran peringkat tinggi yang mengambil tempat di negara ini.

"Sudah pastinya, JIECC akan menjadi jentera penting untuk mempromosikan perniagaan dan perdagangan antarabangsa. JIECC, katanya akan digunakan untuk acara konvensyen, pameran, sukan dan hiburan.

"Kami akan menganjurkan pameran perniagaan-kepada-pengguna, tetapi kami akan beralih kepada acara khusus industri yang memberi fokus, contohnya, kepada kraftangan, perabot, pertanian, pengeluaran kereta dan lain-lain.

Lilia Sukotjo, Pengarah Pemasaran PT AlamSutera Realty TBK, sebuah syarikat pemaju hartanah yang akan turut memajukan projek JIECC berkata, pembiayaan untuk projek itu ialah daripada sumber dalaman dan pinjaman bank.

Kerja-kerja lapangan hijau ke atas projek itu dijangka bermula pada Oktober dan dijadual siap menjelang Oktober 2014.

Direka oleh Larry Oltmanns, JIECC akan mendahului venue-venue terbesar di Indonesia hampir 30 peratus sebaik sahaja fasa satu siap.

Apabila fasa dua selesai pada 2017, ia akan menjadi venue terbesar di Asia.- BERNAMA

Artikel Berikut

China Tahan Perisik AS

Artikel Lain