suria

Hakim Puji Lindsay Lohan

Lindsay Lohan (kanan) melemparkan senyuman ke arah peguamnya, Shawn Holley semasa menghadiri prosiding mahkamah pada Rabu. Foto AFP
Lindsay Lohan (kanan) melemparkan senyuman ke arah peguamnya, Shawn Holley semasa menghadiri prosiding mahkamah pada Rabu. Foto AFP
Lindsay Lohan (kanan) melemparkan senyuman ke arah peguamnya, Shawn Holley semasa menghadiri prosiding mahkamah pada Rabu. Foto AFP

LOS ANGELES: Pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat, Lindsay Lohan yang berdepan dengan pelbagai masalah sejak kebelakangan ini akhirnya mendapat pujian daripada individu yang tidak disangkakan akan berbuat demikian, iaitu seorang Hakim.

Hakim Mahkamah Tinggi, Stephanie Sautner berkata, pelakon itu berada dalam keadaan yang baik di bawah terma-terma percubaannya dan diminta untuk meneruskan usaha tersebut.

Sejak 2 November lalu, pelakon filem Mean Girl itu baru sahaja selesai menjalani hukuman melakukan kerja-kerja di rumah mayat bandar tersebut selama 12 hari dan menghadiri lima sesi terapi.

Lindsay dihukum untuk menjalani kerja-kerja kemasyarakatan dan kauseling selepas melanggar tempoh percubaan yang dikenakan sebelum itu.

“Kamu melakukannya dengan bagus dan saya berharap untuk melihat ia berterusan,” kata Sautner pada pendengaran yang mengambil masa selama 10 minit itu.

Beliau juga memberi rangsangan kepada Lindsay untuk lebih berusaha mengikuti terma yang disyaratkan di bawah program percubaan itu dengan menjanjikan bahawa pelakon tersebut boleh keluar daripada daerah California selepas tamat melakukan kerja di rumah mayat untuk tempoh 12 hari lagi.

Lindsay sebelum ini dibenarkan untuk keluar daerah untuk melancong ke Hawaii bagi menyambut ulang tahun kelahiran adik perempuannya dan dia kembali semula ke sini beberapa jam sebelum prosiding mahkamah bermula.

Pelakon yang mula mencipta nama sejak kecil pernah mencetuskan kemarahan beberapa hakim apabila gagal untuk menghabiskan sesi kauseling dan kerja kemasyarakatan yang perlu dilakukannya.

Pada Rabu, Sautner berkata, beliau percaya perubahan yang ditunjukkan oleh Lindsay berpunca daripada ‘jadual baru’ pelakon tersebut yang memerlukannya untuk hadir ke mahkamah pada setiap bulan sehingga Mac depan.

Hakim berkenaan juga memberikan bayangan bahawa Lindsay berkemungkinan dibenarkan untuk menamatkan tempoh percubaan itu lebih awal daripada tarikh sebenar sekiranya dia berusaha keras.

“Lakukan lebih banyak kerja-kerja kemasyarakatan dalam sebulan dan kita mungkin dapat menamatkannya pada Februari,” kata beliau.

Sautner juga memberitahu, Lindsay perlu tetap melaporkan diri di mahkamah bagi memastikan dia berada di landasan yang lurus.

“Saya rasa dia suka datang berjumpa saya. Itu mungkin motivasinya...,” kata Sautner secara berseloroh.

Lindsay hadir ke mahkamah dengan memakai seluar coklat dan kardigan kuning air dan kehadirannya disambut oleh sekumpulan kecil pihak media yang mengikuti perkembangannya setelah gagal hadir di mahkamah pada Mei 2010.

Lindsay melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah mayat tersebut sebagai hukuman kerana melanggar perintah tahanan yang dijatuhkan pada tahun 2007 bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan kecil mencuri.

Sautner juga memberitahu, Lindsay diarahkan untuk hadir ke mahkamah bagi memberikan perkembangannya pada setiap bulan sehingga Mac depan.

Kehadiran Lindsay di mahkamah itu hanya berlaku sehari majalah Playboy yang memaparkan Lindsay dalam keadaan separuh bogel mula dijual. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain