suria

10 Polis Ditahan Berhubung Kematian Pelajar

CHILPANCINGO: Pihak berkuasa Mexico menahan 10 anggota polis berhubung siasatan kes kematian dua pelajar ekoran tindakan keras yang diambil pasukan keselamatan tersebut terhadap kumpulan tunjuk perasaan di selatan negara itu baru-baru ini.

“Siasatan akan dijalankan terhadap sesiapa sahaja yang perlu disiasat,” kata Gabenor Guerrero, Angel Aguirre pada sidang media berhubung protes yang berlaku di pertengahan lebuh raya antara Bandar Mexico dan pusat peranginan Acapulco.

“Saya ingin menegaskan bahawa Gabenor mahupun kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan supaya polis menyuraikan protes tersebut,” katanya.

Aguirre juga telah memecat Pendakwa Raya Guerrero dan dua pegawai atasan pihak keselamatan pada Khamis.

Pendakwa Raya, Alberto Lopez mendakwa polis tidak menggunakan senjata tetapi beberapa saksi, termasuk wartawan memberitahu polis melepaskan tembakan dan pihak media tempatan turut menunjukkan gambar polis dan orang awam menghalakan senjata ke arah kumpulan penunjuk perasaan tersebut.

“Kami tidak menafikan pengunaan senjata api,” kata Aguirre pada Rabu.

Kumpulan hak asasi mendakwa polis menggunakan kekerasan yang melampau manakala pihak berkuasa mendakwa pelajar tersebut menyebabkan kebakaran di stesyen minyak dan melemparkan molotov cocktails.

Selain kematian dua pelajar, seorang lagi pelajar kini berada dalam keadaan serius akibat daripada pertembungan dengan pihak berkuasa terbabit.

Protes yang diadakan pada Isnin lalu, disertai oleh 600 penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas di lebuh raya terbabit untuk mendesak lebih ramai pelajar dibenarkan di sekolah yang terletak di pendalaman Ayotzinapa.

Bahagian selatan negara itu menyaksikan beberapa protes berkaitan isu pendidikan diadakan sejak kebelakangan ini termasuk oleh guru di Acapulco yang mengadakan tunjuk perasaan ekoran ugutan yang diterima mereka daripada kumpulan pengedaran dadah. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain