suria

China Didesak Perbaiki Tahap Keselamatan Jalan Raya

BEIJING: Kebanyakan komen yang disiarkan di suratkhabar milik kerajaan pada Rabu, mendesak supaya tahap keselamatan jalan raya diperbaiki ekoran kemalangan maut yang melibatkan dua buah bas sekolah baru-baru ini.

Pada Isnin, 15 kanak-kanak maut selepas bas yang dinaiki mereka menjunam ke dalam sungai manakala dalam kejadian bulan lalu, 19 pelajar maut selepas bas yang hanya mempunyai sembilan tempat duduk terlibat dalam kemalangan.

Kemalangan terbaru itu telah mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat China yang meluahkan perasaan berhubung isu keselamatan bas sekolah di laman sosial weibos, yang hampir serupa dengan laman sosial popular, Twitter.

"Satu lagi kemalangan bas sekolah mengorbankan 15 kanak-kanak. Di mata pegawai kerajaan, ia hanyalah satu angka," komen 'luoming0726' dan menambah 'apa yang mereka tahu adalah jika ia boleh memberikan kesan kepada kerjaya di masa hadapan'.

Komen yang dapat dilihat pada suratkhabar, People's Daily pula menyatakan China sebagai sebuah negara yang dahulunya dianggap sebagai 'kerajaan basikal' kini telah menjadi pasaran kereta dunia dengan jumlah 1.34 juta kenderaan dijual pada November, namun ia tidak langsung membina budaya pemanduan yang matang kerana peraturan jalan raya masih tidak dipatuhi.

"Tahap piawaian kenderaan telah dipertingkatkan, tetapi kita masih lemah dalam isu keselamatan dan sekiranya kita tidak membangkitkan keupayaan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka, kita akan terus menuju ke arah bencana," kata Zhan Yong.

Seterusnya, Zhan Yong menambah: "Bas sekolah juga seharusnya membaiki piawaian mereka, tetapi jika kenderaan lain melanggar peraturan kita akan tetap terlibat dalam malapetaka."

Pada kelazimannya, bas sekolah di China sering membawal penumpang berlebihan terutamanya di kawasan luar bandar.

Berdasarkan statistik polis, pada tahun 2010 hampir 70,000 orang menemui ajal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain