SEBUAH pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dipercayai menawarkan persembahan tarian songsang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada awal pagi Sabtu.Operasi khas yang dijalankan kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu membawa kepada penahanan empat lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 31 tahun. Mereka terdiri daripada tiga lelaki warga China dan seorang warga Filipina.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dilakukan susulan maklumat awam serta hasil risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama sebulan.Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur."Hasil operasi, seramai empat warga asing berjaya ditahan di pusat hiburan berkenaan."Semakan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Jelas Zakaria, premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan menarik kehadiran pelanggan tempatan serta warga asing di sekitar Lembah Klang."Modus operandi pusat hiburan ini menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan golongan 'sejenis'."Bayaran yang dikenakan bermula RM53 hingga RM700 mengikut minuman dan tempahan meja oleh pelanggan," katanya.Tambahnya, empat warga asing yang ditahan itu disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.Seramai tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.