suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Badan Peguam akan cabar keputusan pengampunan Najib, pelaksanaan tahanan rumah 

Badan berkenaan turut menggesa minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan kedua-dua pengampunan dinyahklasifikasi.

 

BADAN Peguam Malaysia akan mencabar keputusan dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan kedua Datuk Seri Najib Razak, yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada masa sama, badan tersebut akan meneruskan rayuannya terhadap keputusan berkaitan pengampunan pertama Najib.

Presidennya, Anand Raj berkata, cabaran terhadap pengampunan kedua itu akan dibuat melalui peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, susulan persoalan undang-undang mengenai pengampunan bersyarat dan pelaksanaan tahanan rumah.

Ini kerana pengampunan kedua yang diumumkan pada 18 September lalu membolehkan Najib menjalani baki hukuman dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

"Badan Peguam Malaysia akan, melalui peguamnya, mencabar keputusan dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan kedua, sambil meneruskan rayuan berkaitan keputusan dan nasihat lembaga itu mengenai pengampunan pertama," kata Anand.

Menurut Badan Peguam Malaysia, pengampunan, penangguhan atau peringanan hukuman selepas seseorang disabitkan kesalahan tidak bermaksud individu itu dibebaskan daripada sabitan atau kesalahan yang mendasarinya terpadam.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Akaun bank dibekukan, gaji PM dan Ahli Parlimen pun tak boleh akses... Najib tidak mampu bayar denda RM50 juta

 

Tambahan pula Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Sabitan serta hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjaranya kepada enam tahun, manakala denda diturunkan kepada RM50 juta.

Badan Peguam Malaysia kemudian memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap pengampunan pertama itu, namun permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi pada November 2024.

Badan tersebut memfailkan rayuan dan Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan pada 7 Januari 2027.

Mengulas pengampunan kedua, Badan Peguam Malaysia berkata, pelaksanaan tahanan rumah menimbulkan persoalan lanjut memandangkan negara belum mempunyai kerangka rasmi bagi aturan tersebut.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 yang mengandungi peruntukan berkaitan alat pemantauan elektronik baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Jun dan belum menjadi undang-undang.

Sehubungan itu, badan berkenaan menggesa minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan kedua-dua pengampunan dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum.

Ia turut meminta semua syarat tahanan rumah Najib dijelaskan, termasuk kaedah pemantauan, penguatkuasaan serta sebarang kos tambahan yang perlu ditanggung pembayar cukai.

Badan Peguam Malaysia berkata, kriteria dan objektif yang jelas dan  juga diperlukan sekiranya banduan lain memohon pengampunan atau aturan tahanan rumah yang serupa, selaras dengan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan. -The Star

 

 

 

Artikel Lain