suria

Bangga kejayaan Shila Amzah di China, ND Lala ‘throwback’ perjalanan carikan peluang kerjaya untuk anak

ND Lala bangga dengan kerjayaan Shila.

SEBAGAI seorang bapa, penyanyi ND Lala tumpang bangga melihat kejayaan anaknya iaitu Shila Amzah yang kini sudah mencipta nama di China apabila konsert jelajah di negara itu menerima sambutan hangat peminat.

ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 65, berkata kejayaan diraih Shila bukan datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha berterusan sejak dahulu lagi.

Menurutnya, latihan yang diberikan sejak anaknya berusia sekitar empat tahun kini membuahkan hasil yang amat membanggakan.

ND Lala didik Shila sejak kecil untuk jadi penyanyi.

"Sebagai bapa, saya bangga dengan kerjaya Shila. Syukur Alhamdulillah, segala penat lelah, usaha dan kerja kerasnya membuahkan hasil.

"Dalam industri ini, ada beberapa perkara penting untuk berjaya. Pertama ialah bakat. Bakat bukan datang daripada saya sebagai ayah, tetapi kurniaan Allah dan ia tidak boleh dibeli.

"Kedua ialah kesungguhan. Kalau ada bakat tetapi tidak rajin atau tidak berdisiplin untuk mengasahnya, memang sukar untuk pergi jauh"” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasih sayang terhadap anak tetap sama, ND Lala jelas alasan berdiam isu keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada masalah dengan bapa tapi Shila Amzah perlu masa terima ibu tiri

Dalam pada itu, ND Lala menjelaskan faktor peluang juga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang artis.

Malah, dia mengakui pernah berdepan pengalaman di mana anaknya ditolak kerana dianggap tidak mempunyai kualiti untuk menjadi seorang penyanyi.

"Elemen ketiga ialah peluang. Dulu saya sendiri yang mencipta peluang untuk Shila. Saya bawa demo ke banyak syarikat rakaman, tetapi semuanya menolak.

"Mereka kata Shila berbakat, tetapi ‘tidak boleh dijual’. Jadi saya ambil keputusan menggunakan duit sendiri, termasuk membuat pinjaman untuk menghasilkan album pertamanya.

Kejayaan ini bukan kerana saya semata-mata.

ND LALA

PENYANYI

"Waktu itu dia masih belum dikenali walaupun sudah ada album. Perjalanannya panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi," ujarnya.

Kata ND Lala lagi, usaha mencari peluang sebelum ini tidak sia-sia apabila Shila kini berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.

Dia bagaimanapun percaya kejayaan yang dikecapi Shila hari ini adalah hasil komitmen tinggi anaknya terhadap kerjaya seni.

Shila cukup disayangi peminat China.

"Shila seorang yang sangat komited dalam kerjaya. Kejayaan ini bukan kerana saya semata-mata, tetapi kerana dia sendiri mahu berusaha. Kalau dia tidak mahu, walaupun saya paksa, dia tidak akan sampai ke tahap ini.

"Selepas saya bangkit semula dalam perniagaan, saya mula menyusun langkah untuk membawa Shila ke China. Persiapan itu mengambil masa kira-kira empat tahun.

"Dia pernah bertanya kenapa China jika mahu menjadi artis antarabangsa. Saya jelaskan, pasaran di sana sangat besar dan mempunyai potensi yang luar biasa," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain