suria

Wanita Dominasi Penerimaan Hadiah Nobel Keamanan

OSLO: Apakah persamaan di antara Presiden Liberia, seorang pejuang keamanan yang mengabdikan dirinya kepada kedamaian negara dan seorang aktivis yang menentang pemerintahan rejim kuku besi di Yemen?

Semua mereka iaitu Ellen Johnson Sirleaf, Leymah Ghowee dan Tawakkol Karman adalah wanita dan akan menerima Hadiah Nobel Keamanan bagi tahun 2011.

Presiden Jawatankuasa Nobel Norway, Thorbjoern Jagland berkata, hadiah tersebut sebagai penghargaan kepada ‘perjuangan mereka terhadap keselamatan wanita dan hak asasi wanita untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam usaha mewujudkan keamanan’.

Hadiah itu akan disampaikan pada Sabtu ini di Dewan Bandar Oslo dan majlis tersebut diadakan pada 10 Disember setiap tahun bersempena dengan ulang tahun kematian pengasas hadiah tersebut, Alfred Nobel.

Sirleaf menerima hadiah itu hanya sebulan selepas beliau memenangi pilihan raya negaranya yang membawa kepada perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Wanita berusia 73 tahun dan merupakan seorang nenek itu melakar sejarah apabila menjadi Perdana Menteri Liberia wanita pertama pada tahun 2005, sebelum berjaya mempertahankan kedudukannya dalam pilihan raya 8 November lalu dengan peratusan kemenangan sebanyak 90 peratus.

Bagaimanapun, kemenangan Sirleaf itu ‘dicacatkan’ dengan tindakan seterunya, Winston Tubman yang memboikot pilihan raya tersebut atas dakwaan wujud unsur penipuan, lantas mengurangkan jumlah pengundi sebanyak 38.6 peratus.

Berita penerimaan Hadiah Nobel itu juga diumumkan pada pusingan pertama pilihan raya menyebabkan Tubman mendakwa penghormatan kepada Sirleaf sebagai ‘tidak layak’, ‘tidak berhak’ dan ‘bersifat provokatif’.

Sirleaf menikmati detik-detik pelantikan semula dirinya sebagai Perdana Menteri dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan pembentukan semula negara selepas perang.

Namun, beliau lebih prihatin dengan apa yang berlaku di negaranya, yang masih terkesan daripada peperangan yang berlanjutan selama 14 tahun.

Peperangan tersebut yang tamat pada tahun 2003 meninggalkan kesan kepada kira-kira 250,000 penduduk antaranya penggunaan kanak-kanak sebagai tentera, kejadian rogol dan masalah kecacatan di kalangan orang awam.

Dalam usaha mengubati luka penduduk Liberia, Sirleaf melantik rakan senegara yang juga penerima Hadiah Nobel tahun ini, Leymah Gbowee untuk sama-sama meningkatkan keamanan.

Gbowee, seorang pekerja sosial berusia 39 tahun digelar sebagai ‘pejuang keamanan’ dan menjadi inspirasi kepada kumpulan besar wanita Muslim dan Kristian melancarkan mogok seks pada tahun 2002 dengan enggan bersama suami sehingga keganasan ke atas diri mereka ditamatkan.

“Saya sedar ia adalah tugas yang menggentarkan... Liberia masih dibahagikan secara mendalam dari segi politik, etnik dan juga sosial,” kata Gobwee kepada AFP dalam temubual di kediamannya.

“Saya akan berseluar jeans dan memakai kasut sukan berjalan dari satu komuniti ke komuniti yang lain... Kami harus membawanya mesej ini kepada penduduk.”

Sementara itu, penerima Hadiah Nobel ketiga, Karman adalah seorang rakyat Yemen berusia 32 tahun, seorang wartawan dan aktivis serta pejuang yang turut sama terlibat dalam usaha menggulingkan pemerintahan kuku besi di negara berkenaan.

Ibu kepada tiga anak itu merupakan wanita Arab pertama menerima penghormatan sedemikian.

Beliau menghabiskan masa selama berbulan-bulan di khemah kumpulan anti kerajan di Dataran Perubahan yang terletak di tengah-tengah Kota Sanaa yang menjadi simbol kepada kebangkitan resolusi Yemen menentang pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh selama 33 tahun.

Tekanan yang semakin memuncak daripada gerakan jalanan tersebut akhirnya membuatkan Presiden Ali bersetuju untuk meletak jawatan pada Februari akan datang sebagai pertukaran dengan imuniti daripada Pendakwa Raya.

Bagaimanapun persetujuan itu tidak memuaskan hati Karman yang bukan sahaja mendesak agar perletakan kuasa itu dibuat serta-merta, tetapi beliau juga telah ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague untuk mendesak agar Presiden Ali dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan.

Semua penerima Hadiah Nobel akan menerima wang tunai sebanyak AS$1.45 juta (RM4.49 juta ), pingat emas dan sijil.

Penerima Hadiah Nobel bagi kategori berlainan iaitu kesusasteraan, perubatan, fizik, kimia dan ekonomi pula akan menerima hadiah tersebut pada majlis berlainan yang akan diadakan di Stockholm pada Sabtu. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain