suria

Perikatan pro-Barat isytihar menang pilihan raya Lebanon

BEIRUT:Perikatan pro-Barat mengisytihar memenangi pilihan raya Lebanon awal hari ini ketika stesen televisyen tempatan melaporkan kumpulan itu berjaya mengatasi cabaran Hezbollah dan kumpulannya untuk menguasai majoriti di Parlimen.

Keputusan rasmi dijangka hanya akan diketahui lewat hari ini tetapi kumpulan tersebut sudah mula meraikan kemenangan mereka dengan melepaskan tembakan di udara dan membakar mercun.

Pilihan raya itu dilihat sebagai ujian awal terhadap usaha Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengembalikan kedamaian di Asia Barat.

"Saya beri kemenangan ini kepada Lebanon," kata Perdana Menteri, Fuad Saniora selepas stesen-stesen televisyen meramalkan pakatannya yang pro-Barat sedang menuju kemenangan.

"Ia merupakan hari yang luar biasa bagi demokrasi di Lebanon," kata beliau lagi.

OTV, stesen televisyen milik salah satu komponen perikatan Kristian Hezbollah, mengakui calon-calon partinya yang mencabar saingan kumpulan pro-Barat di beberapa kawasan masyarakat Kritian telah ditewaskan, sekali gus menghalang kemenangan pakatan Hezbollah.

Perbadanan Penyiaran Lebanon, stesen swasta utama Kristian pula meramalkan perikatan pro-Barat akan mendapat 68 kerusi Parlimen manakala Hezbollah pula 57 manakala tiga akan pergi kepada calon Bebas.

Awal hari ini, Ketua perikatan pro-Barat, Saad Hariri memberitahu, pihaknya mahu menghulurkan tangan kepada kumpulan yang tewas "bagi berganding rapat dan dengan serius demi Lebanon."

Beliau menggesa penyokongnya meraikan kemenangan tanpa memprovokasi lawan. AP

Artikel Lain