suria

Panglima tentera Thai nafi jadi dalang pembunuhan di masjid

BANGKOK: Panglima Tentera Thai Jen Anupong Paochinda menafikan dakwaan bahawa angkatan tentera bertanggungjawab di sebalik pembunuhan sekurang-kurangnya 10 orang Islam di sebuah masjid di Narathiwat pada Isnin malam.

Anupong memberitahu media tempatan di daerah ChoAirong bahawa pemberontak yang bertanggungjawab di sebalik pembunuhan beramairamai itu yang memeranjatkan komuniti Islam di tiga wilayah selatan yang bergolak.

"Saya mengutuk kumpulan yang melakukan tindakan ganas ini. Mereka hanya mahu membangkitkan isu ini kepada perhatian dunia dengan menjadikannya seolaholah pihak berkuasa negara secara ganas menindas penduduk kampung. Mereka mahu mewujudkan suasana ketakutan," akhbar Nation memetik Anupong dalam laman webnya.

Namun terdapat percanggahan dalam laporan berhubung jumlah angka korban, dengan pihak berkuasa hospital mengatakan sekurang-kurangnya 10 orang meninggal dunia di masjid manakala 12 lagi cedera, temasuk Imam masjid berkenaan.

Bagaimanapun seorang penduduk kampung ketika dihubungi mendakwa empat orang lagi meninggal dunia di hospital tetapi perkara itu masih belum disahkan.

Penduduk kampung turut enggan mendedahkan apa yang mereka tahu mengenai suspek, tetapi ada yang mengatakan terdapat spekulasi bahawa serangan terbabit berkemungkinan sebagai membalas dendam ekoran kematian dua guru beragama Buddha dan seorang penoreh getah sejak empat hari lepas.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memerdekakan tiga wilayah majoriti penghuni Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.

Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva berkata kerajaan akan menyemak semula langkah sedia ada bagi menangani konflik itu, sambil mengakui bahawa insiden tembakan di masjid itu berbeza daripada cara pemberontak beroperasi pada masa lepas.

Di sebalik peningkatan keganasan, Abhisit berkata kerajaan akan meneruskan pelan pembangunan bagi wilayah ini yang akan memanfaatkan wilayah berkenaan daripada segi jangka panjang.

Ditanya sama ada beliau bimbang pemberontak akan menggunakan pengebom nekad di masa akan datang selepas insiden bom kereta pada Ahad lepas di Narathiwat, Abhisit berkata beliau tidak fikir mereka akan beralih kepada tindakan sedemikian.

Mengenai lawatannya ke Malaysia semalam, Abhisit berkata negara jiran itu bersetuju membantu dan bekerjasama dengan Thailand bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang sudah lama berlarutan itu.

Lawatan beliau ke Malaysia mendapat liputan meluas dalam media Thai, dengan akhbar harian Nation memaparkan tajuk muka depan "A BREAK FROM THE PAST: PM wins Najib backing on South" manakala Bangkok Post pula melaporkan 12 orang terbunuh dalam masjid selepas Malaysia menawarkan bantuan di wilayah selatan yang bergolak. BERNAMA

Artikel Lain