Pembeli mahupun penjual hartanah disaran melantik peguam sendiri untuk mengelakkan risiko konflik kepentingan. -Gambar hiasan AI
URUSAN jual beli rumah bukan sekadar melibatkan persetujuan harga, sebaliknya terdapat pelbagai dokumen, semakan serta prosedur undang-undang yang perlu dilalui sebelum sesuatu transaksi diselesaikan.Disebabkan mahu menjimatkan kos guaman atau memudahkan urusan, ada pembeli dan penjual memilih untuk menggunakan khidmat peguam yang sama. Namun, adakah perkara itu dibenarkan dan selamat untuk kedua-dua pihak?Menurut perkongsian seorang peguam hartanah, pembeli dan penjual boleh menggunakan peguam yang sama, tetapi terdapat syarat serta risiko tertentu yang perlu difahami terlebih dahulu."Biasanya situasi satu peguam, peguam hanya akan mewakili pihak pembeli. Tetapi dalam masa yang sama, peguam pembeli tersebut membantu daripada segi dokumentasi untuk pihak penjual," ujarnya.Walaupun ia boleh dilakukan, beberapa isu mungkin timbul, antaranya melibatkan perlindungan kepentingan kedua-dua pihak.Setiap individu menyimpan impian memiliki kediaman idaman demi keselesaan keluarga. -Gambar hiasan AIMenurutnya dalam perkongsian di TikTok, pembeli mungkin mahu peguam memastikan hartanah yang dibeli tidak mempunyai hutang, sekatan atau isu lain yang boleh menjejaskan transaksi.Pada masa sama, penjual pula mahu memastikan bayaran diterima dengan lengkap dan urusan penjualan berjalan seperti yang dipersetujui.Apabila kedua-dua pihak menggunakan peguam yang sama, terdapat kemungkinan sesetengah perkara berkaitan kepentingan khusus pembeli atau penjual tidak dapat diteliti secara bebas dan terperinci.Menurutnya, terdapat beberapa situasi yang memungkinkan pembeli dan penjual menggunakan peguam yang sama, antaranya:1. Transaksi yang mudah serta tidak melibatkan hutang atau sekatan.2. Harga hartanah adalah standard dan tidak mempunyai komplikasi tertentu.3. Kedua-dua pihak bersetuju serta benar-benar memahami risiko menggunakan peguam yang sama.ARTIKEL BERKAITAN: Sediakan payung sebelum hujan! Ini 8 jenis ‘sinking fund’ ketua keluarga perlu sediakan, paling penting tabung perayaanTambahnya lagi, kebiasaannya penjual akan melantik peguam sendiri, begitu juga pembeli.Langkah itu dianggap lebih selamat kerana setiap pihak mempunyai wakil undang-undang yang boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepentingan dan hak masing-masing.Kesimpulannya, penggunaan peguam yang sama bagi urusan jual beli rumah boleh dilakukan dalam keadaan tertentu, namun ia tetap mempunyai risiko terutama apabila kepentingan pembeli dan penjual berbeza.Justeru, melantik peguam masing-masing lazimnya memberikan perlindungan yang lebih jelas kepada kedua-dua pihak serta membantu mengurangkan risiko konflik kepentingan sepanjang proses jual beli hartanah.