suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Antara lunas hutang dengan simpanan hari tua, mana paling utama? Ada 5 kaedah seimbangkan kedua-duanya

Perancangan kewangan yang baik mampu membantu menjamin kesejahteraan masa hadapan. -Gambar hiasan AI

MEMPUNYAI simpanan yang agak selesa tentunya memberikan rasa lega dan selamat.

Namun timbul persoalan penting lebih-lebih lagi jika anda masih dibebani hutang tertentu.

Dalam masa yang sama, pasti wujud kegusaran jika wang simpanan untuk persaraan pula terjejas. 

Justeru, apakah keutamaan yang perlu didahulukan? 

Membayar hutang sememangnya satu tanggungjawab yang wajib dilunaskan terutamanya buat orang Islam.

Namun, perancangan untuk hari tua juga tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana simpanan persaraan memerlukan tempoh yang panjang untuk berkembang.

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, mengimbangi kedua-dua keperluan itu mungkin kelihatan sukar. 

Justeru, perancangan kewangan yang teratur boleh membantu seseorang menentukan berapa banyak wang perlu diperuntukkan untuk hutang, simpanan kecemasan dan persaraan.

Menurut perkongsian di laman kewangan Principal, terdapat beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk membantu mengurus hutang sambil pada masa sama memastikan persediaan kewangan untuk masa tua tidak terabai.

Individu yang berdepan masalah merancang kewangan disaran mendapatkan bantuan profesional sebelum keadaan bertambah buruk. -Gambar hiasan AI

1. Mulakan dengan meneliti aliran tunai

Sebelum membuat keputusan untuk mengutamakan hutang atau simpanan persaraan, perkara paling asas ialah mengetahui ke mana perginya wang setiap bulan.

Semak pendapatan bulanan dan bandingkan dengan keseluruhan perbelanjaan termasuk bil, komitmen pinjaman, penggunaan kad kredit serta perbelanjaan isi rumah.

Langkah ini membantu mengenal pasti perbelanjaan yang sebenarnya boleh dikurangkan. Wang yang berjaya dijimatkan itu kemudiannya boleh disalurkan kepada pembayaran hutang atau simpanan persaraan.

Jika masih sukar untuk mendapatkan lebihan wang, menambah sumber pendapatan juga boleh dipertimbangkan contohnya melakukan kerja sambilan.

2. Jangan abai simpanan jangka panjang

Membayar hutang tidak bermakna seseorang perlu menghentikan terus simpanan untuk persaraan.

Sebaliknya, sebahagian daripada pendapatan boleh terus diperuntukkan untuk simpanan jangka panjang, walaupun jumlahnya kecil. 

Ini kerana simpanan persaraan memerlukan masa untuk berkembang dan penangguhan yang terlalu lama boleh memberi kesan kepada jumlah yang berjaya dikumpulkan pada masa hadapan.

Justeru, membina simpanan secara konsisten sambil mengurangkan hutang boleh membantu mewujudkan kedudukan kewangan yang lebih seimbang.

3. Utamakan hutang yang mengenakan faedah tinggi

Tidak semua hutang memberi kesan yang sama kepada kewangan.

Sebagai langkah awal, senaraikan semua hutang yang ada dan susun mengikut kadar faedah, bermula daripada yang paling tinggi.

Tumpukan bayaran tambahan kepada hutang yang mengenakan kadar faedah paling tinggi, seperti baki kad kredit atau pinjaman tertentu, sambil memastikan bayaran minimum bagi hutang lain terus dibuat setiap bulan.

Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan jumlah faedah yang perlu ditanggung dalam jangka panjang.

Selepas satu hutang berjaya dilangsaikan, wang yang sebelum ini digunakan untuk bayaran bulanan tersebut boleh pula dialihkan kepada simpanan persaraan.

4. Guna kemudahan kredit secara berhemah

Kad kredit dan kemudahan kredit lain perlu diurus dengan berhati-hati, terutama jika masih mempunyai baki yang belum dilangsaikan.

Bagi mereka yang masih membawa baki kad kredit, usaha untuk melangsaikan hutang tersebut sewajarnya diberikan perhatian kerana caj faedah boleh menyebabkan baki hutang meningkat jika tidak dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Sediakan payung sebelum hujan! Ini 8 jenis ‘sinking fund’ ketua keluarga perlu sediakan, paling penting tabung perayaan

Bagaimanapun, bagi individu yang sudah bebas daripada hutang, kredit tidak semestinya perlu dielakkan sepenuhnya.

Penggunaan kredit secara bertanggungjawab dan pembayaran mengikut masa boleh membantu mengekalkan rekod kredit yang baik. Rekod tersebut boleh menjadi penting apabila seseorang memerlukan pembiayaan pada masa akan datang.

5. Dapatkan pandangan penasihat kewangan jika perlu

Setiap individu mempunyai keadaan kewangan yang berbeza. Jumlah hutang, pendapatan, umur, komitmen keluarga dan sasaran persaraan semuanya boleh mempengaruhi strategi yang sesuai.

Sebab itu, langkah pertama adalah memahami kedudukan kewangan sendiri sebelum menentukan jumlah yang mahu diperuntukkan kepada hutang dan simpanan.

Bagi mereka yang kurang pasti tentang cara mengimbangi kedua-duanya, mendapatkan pandangan daripada penasihat kewangan boleh dipertimbangkan.

Nasihat profesional boleh membantu seseorang melihat keseluruhan kedudukan kewangan dan membentuk strategi yang lebih tersusun berdasarkan matlamat serta kemampuan masing-masing.

Artikel Lain