Dakwaan bahawa seseorang individu akan terus disenarai hitam seumur hidup daripada membuat pinjaman baharu selepas menyertai program AKPK adalah mitos dan tidak betul sama sekali. -Gambar hiasan AI
SEBUT sahaja nama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pasti ramai yang gerun mengenainya.Ini kerana ramai menyangka AKPK adalah tempat 'serah tengkuk' apabila terjerat dengan hutang dan pelbagai isu kewangan. Malah timbul pelbagai persepsi mengenainya termasuk apabila seseorang mendaftar dengan agensi berkenaan, nama akan disenarai hitam seumur hidup daripada mendapatkan perkhidmatan di mana-mana institusi kewangan.Disebabkan itu, ramai takut untuk datang meminta bantuan apabila dihimpit masalah kewangan termasuk bankrap.Perkara itu bagaimanapun disanggah oleh seorang pengguna Threads, Bryonmeh yang menjelaskan ia adalah sekadar mitos dan tidak pernah berlaku.Menurutnya, tindakan mendaftar bersama AKPK tidak bermakna seseorang itu dihukum atau disekat daripada fasiliti kewangan selama-lamanya.Sebaliknya, AKPK hanya meletakkan penanda atau 'flag' sementara pada rekod Central Credit Reference Information System (CCRIS) peminjam sepanjang mereka berada di bawah program pengurusan kredit berkenaan."Masa dalam program, memang tidak boleh ambil pinjaman baru tapi kalau dah habis bayar, penanda itu akan hilang dan anda boleh mohon pinjaman seperti biasa," jelasnya.Pada masa sama, dia turut mengibaratkan AKPK sebagai 'hospital hutang' iaitu tempat mereka yang mengalami masalah kewangan 'merawat' serta 'memulihkan' tahap kewangan mereka sehingga kembali pulih.Langkah menyertai program pengurusan kredit seperti ini disifatkan jauh lebih baik dan bijak berbanding membiarkan tunggakan kewangan melarat sehingga berdepan tindakan muflis.AKPK merupakan merupakan sebuah agensi ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu individu menguruskan kewangan secara bijak serta menyelesaikan masalah hutang secara teratur.Peranan utama AKPK merangkumi Program Pengurusan Kredit (PPK), Kaunseling dan Bimbingan Kewangan serta Pendidkan Kewangan.Dalam kenyataan berasingan, AKPK menjelaskan isu tersebut semakin kerap digunakan dalam iklan atau promosi kepada orang ramai yang menawarkan jalan pintas seperti 'Keluar Status AKPK' atau 'Clear Rekod Buruk'. Menjawab perkata itu, AKPK memaklumkan agensi itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat profil mana-mana individu. "Paparan status dalam rekod CCRIS sewaktu menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) hanyalah sekadar maklumat ketelusan bagi menunjukkan individu terbabit sedang dibantu melalui pembayaran semula pembiayaan secara sah dan teratur."AKPK turut menegaskan bahawa tiada sebarang 'orang tengah' atau ejen yang boleh menjamin kelulusan pinjaman atau membersihkan rekod buruk kerana keputusan kelulusan kredit adalah 100 peratus di bawah penilaian institusi kewangan itu sendiri. "Sebagai agensi di bawah Bank Negara Malaysia, AKPK mengingatkan orang ramai bahawa semua perkhidmatan disediakan adalah percuma dan mereka tidak pernah melantik mana-mana ejen pihak ketiga untuk memungut bayaran," jelasnya.